Pilih Bahasa

Program Hari Terbuka BHBC akan dijenamakan semula sebagai Pesta Madu Lebah Sikuati

SIKUATI: Program Hari Terbuka Pusat Lebah Madu Borneo (Borneo Honey Bee Centre-BHBC) yang dianjurkan oleh Korporasi Pembangunan Desa (KPD) akan dijenamakan semula sebagai Pesta Madu Lebah Sikuati.

Ia akan menjadikan program itu seperti penganjuran Pesta Kopi di Tenom, Pesta Kobis di Ranau dan sebagainya.

Honorsius (kanan) merasmikan koleksi gelodok lebah kelulut terbaharu di BHBC. Gambar SNT/Ihsan KPD

“Cadangan penjenamaan semula program tersebut akan memperkukuhkan lagi peranan KPD selaku penggerak industri madu lebah di Sabah,” kata Pengerusi Lembaga Pengarah KPD, Honorsius Datuk Alfred Bosuin.

Honorsius menambah peningkatan jumlah pelawat BHBC akan menonjolkan imejnya sebagai pusat lebah madu nombor satu di Sabah dan Malaysia.

“Saya difahamkan, jumlah pelawat ke BHBC  pada tahun 2018 ialah seramai 3,485 orang, 2,437 orang pada tahun 2017 dan 187 orang pada tahun 2016. Sasaran jumlah pengunjung pada tahun ini boleh dicapai melalui penganjuran program-program menarik seperti Hari Terbuka BHBC ini.

“Kejayaan KPD khasnya Pusat Lebah Madu Borneo (BHBC) di Sikuati Kudat untuk menerajui bidang penternakan lebah madu dan industri berasaskan madu lebah di Sabah memerlukan kerjasama pintar dengan penternak kontrak lebah madu serta pihak industri berkenaan,” katanya.

Honorsius berkata demikian sewaktu merasmikan Hari Terbuka BHBC yang berlangsung dari 5 hingga 6 April baru-baru ini.

Honorsius menerima cenderamata dari Pengurus Besar KPD, Kalimin Sahadi (kiri). Gambar SNT/Ihsan KPD

Penubuhan pusat berkenaan yang juga dikenali sebagai Borneo Honey Bee Centre (BHBC) selaras dengan matlamat KPD untuk meningkatkan pendapatan rakyat melalui pelbagai aktiviti pertanian, penanaman dan penternakan seperti penternakan lebah madu ini.

Menurut beliau Kerajaan Negeri melalui KPD sentiasa berusaha meningkatkan penyertaan rakyat dalam bidang pertanian termasuklah dengan menganjurkan pelbagai program latihan dan kursus yang dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran rakyat mengenai pertanian dan penternakan.

Beliau turut menggesa rakyat khususnya golongan belia mengambil peluang untuk menyertai kursus-kursus penternakan lebah madu dianjurkan oleh KPD di BHBC.

Salah satu daripadanya akan diadakan pada 10 dan 11 April ini di sini.

Peranan dan potensi BHBC boleh diperkembangkan lagi iaitu bukan sahaja sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan lebah madu tetapi juga sebagai salah satu pusat agro-pelancongan utama di Sabah, ujarnya.

Beliau menambah aset atau hartanah KPD yang berpotensi untuk menjana pendapatan KPD seperti BHBC wajar diberikan perhatian oleh pengurusan KPD.

BHBC sering dilawati orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai lebah madu serta produk-produk madu lebah tersebut termasuklah bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh juga sangat teruja apabila menyaksikan galeri lebah madu semasa beliau melawat BHBC pada bulan Januari tahun ini, katanya.

Sementara itu, pelbagai aktiviti yang diadakan sempena Hari Terbuka ini memberi peluang kepada orang ramai untuk memahami peranan BHBC serta mengetahui potensi-potensi bidang penternakan lebah madu, katanya.

Program lain sempena Hari Terbuka ialah pertandingan ratu lebah kanak-kanak bukan sahaja akan dapat memperkenalkan KPD di kalangan generasi muda, dan mengasah daya kreativiti mereka, tetapi, ia juga akan membuka minda, dan memupuk minat mereka terhadap bidang pertanian, khasnya penternakan lebah madu sebagai satu bidang perniagaan dan keusahawanan yang menguntungkan.

“Manakala, pertandingan rekabentuk topping kelulut pula akan menjana idea-idea baharu serta inovasi di kalangan para penternak lebah untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti haif lebah madu dan hasil madu lebah mereka.

“Saya berharap melalui program ini akan melahirkan idea-idea baharu serta inovasi-inovasi berkaitan dengan kaedah penternakan lebah madu, kaedah penuaian madu lebah serta kaedah mengatasi kerosakan madu lebah yang dapat memberi impak positif ke atas peningkatan keuntungan KPD dan para penternak lebah madu di Sabah,” katanya.-SabahNewsToday