Pilih Bahasa

PROGRAM KAMPUNG ANGKAT DAPAT TURUNKAN KADAR JENAYAH

Oleh Mohd Adam Arinin

Habibi (depan) mengetuai konvoi bermotosikal Balai Polis Luyang. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kadar jenayah di Kampung Cenderakasih yang dipilih menjadi salah satu Kampung Angkat, iaitu salah satu strategi pihak polis IPD Kota Kinabalu untuk mengekang segala aktiviti jenayah menurun sejak program ini dilancarkan awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata Kampung Cenderakasih yang terletak di belakang Metro Town ini adalah dibawah jagaan Balai Polis Luyang.

Habibi (tengah) pada sidang media di Balai Polis Luyang. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kadar jenayah di kampung ini menurun sejak pihak polis menyenaraikan kawasan ini sebagai Kampung Angkat dalam program yang dilancarkan awal tahun ini.

“Kampung ini juga kita yakin akan bersih sepenuhnya daripada masalah jenayah dan aktiviti dadah. Kerjasama daripada komuniti kampung dan hubungan yang baik diantara penduduk dan pihak polis juga merupakan salah satu faktor penurunan kadar jenayah ini,” katanya dalam sidang media selepas menyertai konvoi bermotosikal IPD Kota Kinabalu sempena Hari Polis Ke-212 di Balai Polis Luyang di sini hari ini. 

Konvoi bermotosikal ini bermula di IPD Kota Kinabalu dan berakhir di Balai Polis Luyang.

Kalsom (kanan) melakukan flagoff konvoi bermotosikal yang diketuai oleh Habibi di IPD Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Turut hadir timbalannya, Superintendan George Abdul Rakman; Ketua Bahagian Pencegahan Keselamatan dan Komuniti, Deputi Superintendan Kalsom Idris; Ketua Balai Polis Manggatal, Sub Inspektor Sukumaran A/L Batumalai dan Ketua Balai Polis Luyang, Sub Inspektor Abdul Samad Sumadi.

Menurut Habibi kadar jenayah yang berlaku di Luyang menurun kepada 12 kes atau 32.8 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Bagi di Manggatal pula, kita telah memilih dua buah kampung untuk program Kampung Angkat ini iaitu Kampung Lokub dan Telipok. 

“Kedua-dua kampung dikenali sebagai kawasan panas dan terlalu banyak kegiatan jenayah dilaporkan. Bagi pihak polis, kita sangat optimis untuk membersihkan dua kampung ini dan kerjasama daripada penduduk di situ amat diperlukan,” tambahnya.

Program Kampung Angkat ini dilihat baik kepada penduduk dan penerimaan orang ramai terhadapnya sangat memberi kesan kepada penjenayah untuk melakukan kegiatan di kawasan terbabit. -SabahNewsToday