Pilih Bahasa

Program Komuniti Kerja UMS dekati penduduk kampung

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Carlye (tiga dari kiri) bergambar bersama pihak penganjur Program Komuniti Kerja Sosial. – Gambar SNT / Ehsan KPLB

KOTA BELUD: Program komuniti kerja sosial di luar bandar dapat membentuk keyakinan tinggi di kalangan belia untuk terus mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

Sehubungan itu Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick menyambut baik usaha Kelab Kerja Sosial, Fakulti Pendidikan dan Psikologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjayakan program itu.

“Saya menyambut baik program komuniti kerja sosial ini yang secara tidak langsung akan dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat kampung tentang betapa pentingnya menuntut ilmu dalam kehidupan.

“Program ini juga adalah salah satu strategi turun padang untuk mendekati masyarakat khususnya golongan sasar yang memerlukan,” katany dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Setiusaha Politiknya, Carlye Lajimin, sempena pelancaran Program Komuniti Kerja Sosial, di Kampung Tengkurus di sini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pensyarah Program Kerja Sosial UMS Dr. Peter Voo Su Kiong; wakil Jabatan Penerangan Kota Belud Durahim Jaman dan wakil Penduduk Kampung Tengkurus, Antoni Satoh.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian turut menghargai kerjasama semua pihak terutamanya penduduk Kampung Tengkurus menjayakan program tersebut.

“Sesungguhhnya komitmen semua pihak dalam menyokong usaha dan program yang dijalankan amat dihargai,” katanya.

Beliau berharap melalui program komuniti kerja sosial ini akan mampu memberikan impak positif kepada semua pihak yang terlibat. – SabahNewsToday