Pilih Bahasa

Program komuniti polis bantu mengurangkan jenayah

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Bersesuaian dengan slogan ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’, Polis Kota Kinabalu meneruskan usaha mendekati masyarakat menerusi pelbagai program komuniti kepolisan dalam membanteras sekali gus mengurangkan kadar jenayah di daerah ini.

Habibi bersama warga IPD Kota Kinabalu dan media bergambar sempena acara perlawanan boling antara IPD Kota Kinabalu dan media di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata usaha mendekati masyarakat secara lebih mendalam dapat merungkai segala permasalahan yang menjadi pencetus kepada gejala jenayah.

“Menerusi program ini yang diadakan secara berterusan, ia bukan saja menumpukan pembanterasan jenayah, tetapi juga dapat mengajak masyarakat bersama-sama memainkan peranan dan tanggungjawab mencegah jenayah.

Habibi bergambar bersama warga IPD Kota Kinabalu dan media selepas selesai acara perlawanan boling di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

“Program Komuniti Kepolisan ini sudah menampakkan hasil dalam usaha mewujudkan suasana keselamatan dan penyelesaian segala permasalahan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas acara perlawanan Boling antara warga IPD Kota Kinabalu dan Pengamal Media, di sini, semalam.

Habibi membaling bola sebagai gimik pelancaran acara perlawanan boling antara IPD Kota Kinabalu dan media di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Habibi berkata sebelum ini, polis lebih fokus kepada pencegahan jenayah namun kini dengan adanya program komuniti kepolisan, usaha menurunkan kadar jenayah semakin mantap.

Sementara itu, Habibi berkata kerjasama rapat dengan pengamal media juga menjadi asas penting dalam mencapai objektif kepolisan komuniti.

Habibi bersama pengamal media selepas perlawanan boling di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

“Segala maklumat pencegahan dapat disalurkan secara tepat sekaligus secara tidak langsung merapatkan hubungan polis dengan masyarakat.

“Hubungan PDRM dengan masyarakat dan media terbukti membantu penurunan jenayah, ini dapat dilihat menerusi rekod kadar jenayah di daerah yang mencapai penurunan amat ketara dalam indeks jenayah iaitu 17.8 peratus penurunan jenayah,” jelasnya.

Habibi merasmikan perlawanan boling antara IPD Kota Kinabalu dan media di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Turut hadir, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mugutan Vanar, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Ab Rakman dan Pengurus Operasi Sabah News Today, Datu Ruslan Sulai.-SabahNewsToday