Pilih Bahasa

Program Matrikulasi masih relevan: NC UMS

KOTA KINABALU: Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin menegaskan bahawa Program Matrikulasi masih relevan.

Ianya terbukti telah berjaya meningkatkan bilangan pelajar bumiputera melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda di universiti awam khususnya dalam bidang sains, teknologi dan perubatan, katanya.

Prof Datuk Dr D Kamaruddin D Mudin. Gambar Fail SNT

Tambahnya lagi ia diwujudkan dengan objektif asas sebagai laluan alternatif khas bagi pelajar bumiputera untuk memasuki universiti selain kemasukan melalui kelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sijil Diploma atau lain-lain kelayakan yang setara.

“Dalam konteks negeri Sabah, Program Matrikulasi adalah penting dan relevan sebagai laluan alternatif pelajar bumiputera dari pelbagai etnik (termasuk yang berdarah campuran atau “sino”) mengikuti pengajian peringkat sarjana muda di universiti, termasuklah di UMS.

“Sebagai makluman, setiap sesi akademik, UMS menerima kemasukkan sejumlah pelajar lulusan program Matrikulasi dari seluruh negara.

“Di negeri ini, pelajar adalah dari pelbagai daerah, termasuk dari luar bandar, dan bagi sesi kemasukan akademik 2018/2019, sekitar 21 peratus pelajar tahun pertama UMS ialah dari program Matrikulasi berbanding 58 peratus dari STPM,” ujar Prof Dr D Kamarudin.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini sebagai respon kepada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang mengekalkan kuota 90 peratus untuk pelajar Bumiputera dan 10 peratus untuk pelajar bukan Bumiputera sebagai pelaksanaan bagi kemasukan ke Program Matrikulasi.

Menurut Prof Dr. D Kamarudin, satu perkara yang wajar diketahui dan difahami oleh semua pihak ialah setelah pelajar memasuki universiti, mulai tahun pertama pengajian sehinggalah tamat pengajian, semua pelajar mempunyai peluang yang sama untuk menunjukkan kemampuan masing-masing sebagai pelajar prasiswazah.

Dengan erti kata lain ujarnya, semuanya adalah setara dan tidak ada kelebihan pelajar lulusan Matrikulasi berbanding lulusan STPM mahupun Diploma ketika berada di universiti.

“Justeru, selari dengan objektif asas dan kejayaan serta sumbangannya selama ini, Program Matrikulasi perlu diteruskan merujuk kepada dasar yang telah ditetapkan.

“Kesangsian tentang program ini sewajarnya dihentikan demi menjaga keharmonian negara kita.

“Kita perlu beri tumpuan untuk memberi pengalaman serta pengetahuan yang holistik kepada semua pelajar yang berjaya mendapat tempat di universiti ke arah menghasilkan graduan yang future-ready di zaman Industri 4.0,” jelas beliau lagi.

Untuk rekod, keputusan Jemaah Menteri mengekalkan kuota 90:10 bagi pelaksanaan program Matrikulasi baru-baru ini telah menimbulkan kesangsian daripada beberapa pihak yang tampil mempersoalkan kerelevanan program itu selain wujudnya tanggapan bahawa kemerosotan graduan universiti adalah akibat daripada ramainya pelajar lulusan Matrikulasi memasuki universiti.-SabahNewsToday