Pilih Bahasa

Program Mega Dive 3.0 TLDM pupuk usaha pulihara ekosistem laut: Christina

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Program Mega Dive 3.0 anjuran Tentara Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi membersihkan kawasan dasar laut di jeti pangkalan TLDM hari ini berjaya mengutip sampah sebanyak 15 kilogram dan 600 landak laut.

Usaha pembersihan itu melibatkan seramai 79 penyelam daripada pelbagai agensi iaitu Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pengamal media.

Para peserta Program Mega Dive 3.0 dan Hari Terbuka Regatta TLDM Ke-6 2019 mengabadikan kenangan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan TLDMPara

Penganjuran aktiviti itu turut diadakan bersempena Hari Terbuka Regatta TLDM Ke-9 2019 di Pusat Kecemerlangan Perahu Layar Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan dirasmikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.

Dalam ucapannya Christina berkata kerajaan mengalu-alukan inisiatif TLDM menganjurkan program itu dan menganggap ia sebagai langkah pemuliharaan ekosistem laut yang perlu dicontohi oleh semua pihak.

Syed Ahmad Hilmi Syed Abdullah (tengah) menyampaikan sijil penyertaan kepada wartawan The Star Natasha Joibi mewakili media yang menyertai program Mega Dive 3.0. – Gambar SNT/Ihsan TLDM

“Mega Dive 3.0 merupakan program jiwa murni yang telah berlangsung selama tiga tahun berturut-turut untuk membersihkan kawasan dasar laut jeti di pangkalan TLDM daripada sampah dan landak laut.

Christina (tengah) dan Syed Ahmad Hilmi Syed Abdullah bergambar kenangan bersama para peserta Program Mega Dive 3.0 di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan TLDM

“Saya berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan dalam menjaga kebersihan alam sekitar dan pemuliharaan ekosistem hidupan laut,” katanya.

Hadir sama dalam program itu Panglima Logistik Timur, Laksamana Pertama Syed Ahmad Hilmi Syed Abdullah; Timbalan Pengarah Jabatan Laut Sabah, Alimuddin Amirudin dan wakil Pengarah APMM, Komander Maritim Mohammad Nasir Man.

Christina (kanan) dan Syed Ahmad Hilmi Syed Abdullah memotong riben serentak sebagai tanda perasmian acara Program Mega Dive 3.0 dan Hari Terbuka Regatta TLDM Ke-6 2019 di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan TLDM

Dalam pada itu Christina berkata kejohanan regatta merupakan sukan pelayaran yang sentiasa menjadi daya penarik kepada golongan belia.

Beliau berkata penganjuran sukan itu bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara agensi luar serta masyarakat setempat dengan warga TLDM. – SabahNewsToday