Pilih Bahasa

Program Pantas pertama di Kota Belud dilaksanakan di Kampung Kiau Taburi

Ewon bergambar bersama sebahagian penduduk Kampung Kiau. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

KOTA BELUD: Penantian penduduk Kampung Kiau Taburi untuk mendapatkan geran tanah akan menjadi kenyataan apabila Program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (Pantas) di kampung itu dilaksanakan tidak lama lagi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ewon Benedick berkata program pengukuran Pantas di kampung itu merupakan yang pertama di daerah Kota Belud dan akan diperluaskan ke kawasan-kawasan lain selepas ini.

“Bagi kawasan Kampung Kiau Taburi arahan ukur telah dikeluarkan pada 12 September lalu untuk menyukat seluas 500 ekar tanah di kampung ini melibatkan 254 lot.

“Oleh itu saya berharap penduduk kampung memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pasukan juruukur yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan penyukatan di sini agar tempoh lapan bulan yang ditetapkan bagi menyiapkan kerja-kerja penyukatan tanah di kawsaan ini dapat dipendekkan kepada enam bulan,” katanya.

Ewon ketika melancarkan Program PANTAS Kg.Kiau Taburi, turut kelihatan Safar. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pantas Kampung Kiau Taburi Kota Belud di Dewan Masyarakat kampung itu di sini, semalam.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, pemilihan Kampung Kiau sebagai lokasi pertama pelaksanaan program itu di Kota Belud dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kadamaian kerana beliau mahu memastikan kejayaan dan kelancaran program itu.

“Jika ada pertikaian tanah dalam kalangan penduduk kampung, pemimpin akar umbi atau ketua kampung di kampung ini harus mencari jalan penyelesaiannya. Ini penting kerana, kejayaan program Pantas di Kg.Kiau akan menggambarkan kejayaan keseluruhan program ini di Kota Belud kelak,” katanya.

Menurut Ewon, pengukuran 254 lot pertama tersebut merupakan fasa pertama daripada keseluruhan 1,000 lot tanah yang dijangka akan diukur di bawah Program Pantas Kiau melibatkan limah buah kampung berhampiran.

Ewon (dua dari kiri), Safar (tiga dari kiri) dan Diyannah (kiri) melihat pelan kawasan Kampung Kiau Taburi. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Ini merupakan usaha berterusan saya dalam menyelesaikan isu-isu yang menjadi keprihatinan rakyat Kadamaian iaitu permohonan tanah selain daripada keperluan pembangunan infrastruktur asas dan pembangunan ekonomi melalui aktiviti keusahawanan desa. Saya gembira kerana dapat membawa Program Pantas ke Kota Belud bermula di kawasan Dun Kadamaian dan fasa pertama dilaksanakan di Kampung Kiau.

“Para pemohon ini telah menunggu berpuluh tahun lamanya. Dengan adanya Pantas ia dapat mempercepatkan pengukuran secara berkelompok permohonan-permohonan oleh penduduk tempatan.

“Saya dapat melihat keceriaan di kalangan penduduk di sini kerana satu daripada impian mereka kini dapat kita laksanakan,” katanya.

Ewon juga turut menyokong permohonan penduduk Kampung Kiau Nuluh untuk mewartawakan kira-kira 404.6 hektar yang terkeluar daripada sempadan Taman-Taman Sabah sebagai Tanah Simpanan Anak Negeri (Native Reserve) untuk tujuan hutan tagal komuniti.

“Saya telah diberikan taklimat oleh Taman-Taman Sabah berkenaan sempadan ini dan dimaklumkan mengenai pengeluaran 404.6 ekar tersebut.

“Penduduk Kiau Nuluh melalui kepada Persatuan Memulihara Warisan Tradisi dan Alam Semula Jadi Kampung Kiau Nuluh (Gompito) telah memohon supaya kawasan tersebut diwartakan sebagai Native Reserve kerana selama ini pun mereka mempunyai hak tanah adat.

“Justeru dengan kehadiran Pengarah, Penolong Pemungut Hasil Tanah dan pengurusanan kanan Jabatan Tanah dan Ukur di Kampung Kiau pada majlis ini saya menyokong sepenuhnya permohonan ini yang telah dikemukakan beberapa tahun lepas dan perbincangan-perbincangan tertentu bersama JTU juga telah dilaksanakan termasuk yang saya pengerusikan di pejabat saya di KPLB Sabah,” katanya. 

Ewon berkata, pewartaan itu bertujuan untuk mengujudkan Hutan Tagal Komuniti bagi tujuan konservasi hutan dan tadahan air oleh komuniti kampung serta aktiviti eko-pelancongan luar bandar berasaskan komuniti. – SabahNewsToday