Pilih Bahasa

Program Remaja Sihat, Nabawan Onsoi

NABAWAN: Seramai 38 peserta menjayakan Program Remaja Sihat, Nabawan Onsoi anjuran Balai Polis Nabawan, sempena Bulan Sukan Negara (BSN).

Ketua Balai Polis Nabawan, Sarjan Mejar Mandawang Simbaul berkata, program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Nabawan sempena dengan sambutan BSN yang dilancarkan pada 1 Oktober lepas.

Sarjan Mejar Mandawang Simbaul. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

“Walaupun berada di pedalaman, kita juga mahu bersama-sama mengambil bahagian memeriahkan sambutan BSN dengan mereka di bandar-bandar besar.

“Pada hari ini, kita mengadakan program kecerdasan iaitu ‘Program Remaja Sihat, Nabawan Onsoi’ di mana para peserta dibawa mendaki Bukit Kakuom.

“Mereka ini terdiri daripada anggota dari Balai Polis Nabawan, warga Pejabat Penerangan Daerah Nabawan, ahli-ahli Kadet Polis serta guru-guru pengiring daripada SMK Nabawan 1 dan SMK Nabawan 2.

Peserta bergambar kenangan di puncak Bukit Kakuom. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

“Selain itu, sesuai dengan konsep Polis dan masyarakat berpisah tiada, program ini menjadi wadah untuk polis mendekati golongan muda,” ujarnya pada Sabtu.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Nabawan, Asmidar Zainol menjelaskan di samping menggalakkan gaya hidup sihat, kerjasama tersebut juga dapat mengeratkan silaturahim serta kerjasama dengan masyarakat setempat.

Asmidar Zainol. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Untuk rekod, BSN yang dilancarkan pada 1 Oktober, menyasarkan penyertaan 5 juta penyertaan seluruh negara, merangkumi pelbagai acara sukan di peringkat daerah dan negeri.

Penganjuran sukan memberi penekanan penganjuran sukan dengan tiga elemen iaitu murah, mudah dan dapat menarik penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan, selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara sukan menjelang 2020.SabahNewsToday/Penerangan