SIPITANG: Program Pembangunan Usahawan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah membantu menjana pendapatan pekebun kecil di Sabah.
Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Haji Yacob berkata menerusi program itu, RISDA menyediakan Bantuan Ekonomi Tambahan bernilai RM10 ribu dalam bentuk kelengkapan dan peralatan bagi menambah baik pengurusan perniagaan usahawan kecil yang layak.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan RISDA 2019 di Dewan Serbaguna di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah RISDA Negeri Sabah,
Maizal Hakiman Nawawi, Pegawai Daerah Sipitang, Matlin Dullah, Ketua Daerah Sipitang, OKK Kamis Daming dan Pegawai Pembangunan Masyarakat Dun Sindumin, Pg Mohd Yacob Pg Omar.
Dr. Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin berkata, RISDA bukan sahaja berperanan penting dalam kemajuan pembangunan tanam semula getah di Sabah selain Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) malah bertanggungjawab memajukan usahawan pekebun kecil dalam perniagaan.

“Berikutan kejatuhan harga getah, pekebun kecil diberikan alternatif lain dalam membantu mereka berhadapan kemelut kejatuhan harga komodoti dunia yang tidak menentu,” katanya.
Dr Yusof berkata, sejak tahun 2010 sehingga kini, RISDA berjaya membantu melahirkan seramai 350 usahawan termasuk 60 usahawan dari Beaufort dan Sipitang.
Mengulas pengisian karnival itu, Dr Yusof berkata, ianya juga menjadi medium ilmu dalam memberi kesedaran umum terhadap masalah penagihan dadah yang serius di daerah Sipitang.
Ini berikutan statistik penagihan syabu di kalangan belia menunjukkan Sipitang mencatatkan jumlah yang tinggi di Sabah.

“Sehubungan itu saya mahu agar semua pihak bekerjasama membendung penularan masalah penagihan dadah yang serius dengan melaporkan dan bertindak sebagai penyelia untuk keluarga sendiri,” katanya. SabahNewsToday