Pilih Bahasa

Program Sarapan Pagi tetap diteruskan: Dr Yusof

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah akan meneruskan Program Sarapan Pagi (PSP) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia bermula tahun ini kepada sekolah-sekolah terpilih di negeri ini.

Menterinya, Datuk Dr Yusof Yaacob berkata pelaksanaan program itu dibuat secara berperingkat di sekolah terpilih dengan murid terdiri daripada golongan miskin diberikan keutamaan dalam program berkenaan.

Dr Yusof (tengah) ditemui media. Gambar Fail SNT/Ihsan KPI

“Kita akan melaksanakan Program Sarapan Pagi (meskipun berlaku perubahan Menteri Pendidikan). Kita melihat aspek positif program ini.

“Kita bukan laksana sekaligus sebaliknya secara berperingkat dengan mengenalpasti sekolah dan murid miskin yang tidak berkesempatan bersarapan di rumah kerana tinggal jauh dari sekolah mereka.

“Kumpulan sasar ini yang kita berikan keutamaan terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan amanat sempena Program Bicara Profesional Awal Tahun 2020 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di Dewan Auditorium Sabah di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Dr Mistirine Radin dan pegawai kanan jabatan tersebut.

Dr Yusof berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan semasa Program Sarapan Pagi di Sabah yang dijadualkan dilaksanakan diseluruh negara mulai 20 Januari ini.

Lebih 8,000 murid daripada 15 buah sekolah rendah di negeri ini layak menerima PSP kerana mempunyai peratus murid dari golongan keluarga B40 yang tinggi.

Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (Sk) Penangah, Telupid; Sk St James(M), Kudat; Sk Tandek, Kota Marudu; Sk Nambayan, Tambunan; Sk Kabogan, Semporna; Sk Bukit Garam, Kinabatangan dan Sk Pinggan-Pinggan, Pitas.

Turut terlibat ialah Sk Binsulok, Beaufort; Sk Kuala Tomani, Tenom; Sk Kebagu, Kota Kinabalu; Sk Kulambai, Kota Belud; Sk Pekan Nabawan, Pensiangan; Sk Kundasang, Ranau; Sk Sungai Anib 1, Sandakan dan Sk Umas-Umas, Tawau. – SabahNewsToday