Pilih Bahasa

Program semarak semangat patriotik dalam rukun tetangga perkasakan perpaduan – Frankie Poon

Gambar Bernama

SANDAKAN, 16 Sept  — Kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan dalam penganjuran program menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan negara di kawasan rukun tetangga, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), penting dalam memperkasa perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata penganjuran program seumpama itu di kawasan rukun tetangga juga mampu mengukuhkan perpaduan dalam masyarakat.

“Saya berharap Jawatankuasa Rukun Tetangga akan dapat digerakkan sebaik yang mungkin bersama agensi kerajaan, terutama di bawah Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, khususnya dalam melaksanakan program-program yang boleh menjana kestabilan ekonomi komuniti, perpaduan antara kaum dan keselamatan awam.

“Hal ini penting agar rakyat dapat memperolehi maklumat yang berguna mengenai fungsi dan peranan rukun tetangga serta apakah peranan yang boleh dimainkan oleh masyarakat di kawasan rukun tetangga dalam menjaga keselamatan,” katanya pada Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Rukun Tetangga Bahagian Sandakan di sini hari ini.

Mengenai sambutan Hari Malaysia hari ini, Poon berkata rakyat harus bersyukur kerana hidup dalam negara yang aman berbanding negara lain yang sedang bergolak.

— BERNAMA