Pilih Bahasa

Program Sentuhan Kasih dekatkan pemimpin dan rakyat

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Program Sentuhan Kasih yang dirancang dan dilaksanakan oleh ahli Srikandi Bersatu Sabah bermula dari fasa akar umbi dengan matlamat untuk mengenalpasti isu dan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata program tersebut direncanakan sebagai satu usaha untuk mengenalpasti langkah terbaik dalam menyalurkan bantuan dan membantu rakyat khasnya aspek kebajikan.

Berbincang tentang program-program yang bakal dilaksanakan, Azizah (duduk, kanan) mendengar penerangan daripada Redonah. – Gambar SNT/Ihsan Srikandi Bersatu

“Melalui program ini, kita rasakan bahawa kita boleh terus dekat dengan rakyat di bawah dan semua ahli dalam Bersatu terlibat dalam gerak kerja Sentuhan Kasih.

“Kita juga mahu memperhebatkan lagi usaha kita dari satu kawasan ke satu kawasan bagi mendekati rakyat kita dengan pendekatan turun padang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas sesi penyerahan barang-barang Program Sentuhan Kasih kepada 25 Srikandi Bersatu peringkat bahagian di Jalan Kurol Melangi Kampung Likas kelmarin.

Hadir sama semasa sesi penyerahan tersebut ialah Penolong Setiausaha Srikandi Bersatu negeri, Datuk Redonah Bahanda serta Ketua-ketua Srikandi bahagian.

Azizah (tengah) bergambar kenangan selepas selesai sesi penyerahan barang-barang Program Sentuhan Kasih. – Gambar SNT/Ihsan Srikandi Bersatu

Menurut Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort, Srikandi komited dan bekerja keras untuk menjadi perantara dalam menyampaikan bantuan serta melestarikan aspek kebajikan yang diperlukan oleh rakyat.

“Misalnya di kawasan saya, kita telah adakan siri Sentuhan Kasih yang mana kita melibatkan semua ahli Srikandi untuk saling bersilaturahim dan mengambil tahu masalah rakyat di peringkat akar umbi.

“Kita di semua bahagian juga akan terus melakukan tugas utama kita sebagai pejuang parti yang mementingkan rakyat,” tambahnya lagi. – SabahNewsToday