Pilih Bahasa

Projek Bekalan Air Luar Bandar Kampung Bukit Quion diteruskan: Peter

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Projek Bekalan Air Luar Bandar di Kampung Bukit Quion, Balung di bawah Roling Plan 1 (RP1) telah diluluskan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Pusat.

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata begitupun pelaksanaan projek berkenaan masih dalam proses pelantikan juruperunding di peringkat Kementerian KPLB Pusat dan ia dijangka selesai pada Mei ini.

Peter Anthony – Gambar fail SNT

Peter berkata menerusi projek berkenaan sebuah infrastruktur bekalan air teratur bagi mengatasi dan menyelesaikan isu bekalan air di Bukit Quion termasuk pedalaman seperti Ranggu sehingga Bandar Sri Indah akan dibina.

“Kebanyakkan penduduk yang tinggal di kampung-kampung di sepanjang jalan Bukit Quion seperti Kampung Bukit Quion, Iban Kuala Nansang, Kalumpang A dan Baru Pinampang masih belum mendapat air terawat.

“Penduduk di situ juga masih bergantung kepada bekalan air hujan dan air perigi serta air telaga sebagai sumber kegunaan harian,” katanya katanya ketika sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Bersatu-Apas) mengenai status projek Bekalan Air Luar Bandar di Kampung Bukit Quion yang telah diluluskan peruntukannya oleh kerajaan terdahulu.

Menjawab lebih lanjut, Peter berkata projek itu akan mengambil masa selama enam bulan bagi kerja-kerja kajian dan penyediaan reka bentuk terperinci serta penyediaan dokumen tender. – SabahNewsToday