Pilih Bahasa

Projek CSR berkaitan keselamatan kebakaran wajar diperluaskan: Jaujan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA BELUD: Syarikat korporat dan swasta digesa melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berkaitan keselamatan kebakaran di peringkat kampung khususnya di kawasan yang terletak jauh dari balai bomba.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata ia merupakan langkah positif pihak sektor swasta mahupun badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyokong usaha kerajaan menangani isu keselamatan kebakaran di negeri ini.

Jaujan (tengah) semasa merasmikan Projek CSR Pemasangan Kemudahan Water Pump dan Hose Reel di Kampung Dudar Dasar, Kota Belud. – Gambar SNT/Ihsan KKTP

“Kerajaan menyokong penuh idea meluaskan program CSR berkaitan keselamatan seperti yang dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Kota Belud iaitu memasang kemudahan water pump dan hose reel untuk kegunaan penduduk kampung.

“Saya berharap agar pihak korporat dan syarikat swasta juga mencontohi langkah CSR yang dilakukan bomba dalam aspek keselamatan kebakaran ini,” katanya dalam ucapan perasmian Projek CSR Pemasangan Kemudahan Water Pump dan Hose Reel di Kampung Dudar Dasar, Kota Belud di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah; Penolongnya, Zuraidah Latip dan Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Itam serta wakil penyumbang Projek CSR Persatuan Perlindungan Kebakaran Malaysia (MFPA) iaitu Kelab Rotary Petaling Jaya dan Kota Kinabalu.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan juga berkata program itu memberikan makna kepada penduduk setempat kerana mampu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk sejak sekian lama.

Katanya menerusi program itu penduduk akan mula menikmati suatu kemudahan perlindungan pemadaman kebakaran dengan adanya peralatan yang disumbangkan itu sekaligus membolehkan mereka mendapatkan bekalan air daripada tangki utama ke paip rumah masing-masing yang dipam dari sungai.

Tambah beliau kejayaan projek itu menunjukkan bahawa kajian di peringkat awal sehingga pemilihan sebuah kampung berpenduduk yang jauh dari balai bomba, belum memiliki kemudahan paip air dan juga berdekatan sungai sebagai sumber air adalah tempat.

“Ini berdasarkan kriteria tadi, cadangan ini mendapat sokongan daripada Pejabat Daerah Kota Belud.

“Melalui pengalaman dan latihan seperti ini akan membolehkan penduduk setempat dapat bersedia untuk membantu bomba dalam mencegah kecemasan dan kebakaran daripada berlaku,” ujarnya. – SabahNewsToday