Pilih Bahasa

PROJEK MESRA RAKYAT TNB/SESB SINARI HIDUP KELUARGA RIMONDST A CAROLUS

Oleh Sabah News Today

KOTA BELUD: Sebuah keluarga di Kampung Lingkubang, Kota Belud tidak menyangka kehidupan mereka akan berubah menjadi lebih selesa pada tahun ini dengan mendapat gantian rumah baharu.

Perasaan gembira jelas kelihatan di wajah  Rimondst A. Carolus sekeluarga terutamanya anak-anak yang pastinya tidak sabar untuk membuat aktiviti seharian mereka dengan lebih selesa.

Selain itu, sebagai pesakit buah pinggang, Rimondst, 49 tahun dapat menikmati kehidupan yang selesa dan kondusif.

Justeru itu beliau amat berterima kasih kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kerana terpilih sebagai penerima bantuan baik pulih rumah melalui Projek Mesra Rakyat (PMR) oleh TNB/SESB.

Rumah yang mula dibina sejak Oktober 2018 atas tajaan sepenuhnya TNB siap sepenuhnya dan diserahkan kepada beliau pada upacara ringkas yang berlangsung pada hari ini di perkarangan rumah berkenaan.

Majlis penyerahan PMR tersebut disempurnakan oleh Norhizami Abu Hassan Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) mewakili Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, Pemangku Pengarah Urusan SESB dan turut disaksikan oleh Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat SESB Hajjah Chendramata Hj Sinteh dan Pengurus Besar Pembahagian SESB Ir. Eddie Ahmad.

Program tanggungjawab korporat TNB/SESB yang dilaksanakan di Sabah memfokuskan kepada golongan yang kurang berkemampuan ataupun golongan B40.

Umum mengetahui bahawa, peranan utama TNB/SESB ialah untuk memberi manfaat dan kesejahteraan kepada seluruh masyarakat melalui penyediaan infrastruktur terpenting iaitu tenaga elektrik.

Dalam konteks ini, TNB/SESB sentiasa memberi tumpuan kepada penyediaan bekalan elektrik yang berdaya harap dan berkualiti tinggi di samping memberikan perkhidmatan terbaik.

Dalam menyempurnakan perkhidmatan dan tanggungjawabnya, TNB/SESB sentiasa berusaha untuk menjalinkan hubungan yang harmoni dan mesra dengan masyarakat umum yang merupakan para pelanggan dan pengguna TNB/SESB.

Pelaksanaan Projek Mesra Rakyat ini adalah selaras dengan Dasar Sumbangan dan Tajaan TNB dimana sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan GLC, TNB sentiasa mendokong insprasi kerjaan dalam membantu golongan masyarakat  yang daif dan memerlukan bantuan.

TNB sebagai warga korporat yang prihatin dan tanggungjawab, bukan hanya mementingkan keuntungan bisnes semata-mata.

Sebahagian besar daripada keuntungan operasi yang diperolehi dikembalikan semula kepada rakyat dan negara melalui perlaksanaan program – program dan aktiviti CSR seperti Projek Mesra Rakyat ini di samping menambah dan menaik taraf infrastruktur  pembekalan elektrik Negara dengan persiapan beberapa langkah di hadapan proses pembangunan negara.

Sebagai makluman, TNB melaksanakan program – program CSR di seluruh Negara di bawah empat kriteria utama iaitu Pendidikan, Pembangunan Komuniti, Pembangunan Sukan, dan Penjagaan Alam Sekitar.

Setiap tahun TNB membelanjakan lebih daripada RM50 Juta bagi melaksanakan inisiatif – inisiatif CSR di seluruh negara.

Di negeri Sabah TNB telah dibantu  oleh SESB sebuah anak Syarikat TNB  untuk menyelaras program ini di 4 daerah yang terpilih iaitu Kota Marudu,  Kota Belud, Tenom dan Sapulut dengan nilai keseluruhan projek sebanyak RM200 ribu.-SabahNewsToday