Pilih Bahasa

Projek naik taraf jalan Bulatan Berungis ke pekan Tuaran perlu dipercepat – Madius

TUARAN, 18 Nov — Projek naik taraf jalan Bulatan Berungis sehingga ke pekan Tuaran perlu dipercepat bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di jalan berkenaan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata peruntukan untuk menaik taraf jalan berkenaan sudah dikeluarkan dan diluluskan oleh kerajaan persekutuan, namun projek menaik taraf belum dilaksanakan.

Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. Gambar Fail SNT

“Projek ini belum dimulakan kerana kerajaan persekutuan meminta kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya jalan berkenaan kepada persekutuan.

“Oleh itu, kerajaan negeri perlu berbincang lagi dengan kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan perkara berkenaan dan ia akan melambatkan proses menaik taraf jalan tersebut,” katanya kepada Bernama, selepas merasmikan kejohanan bola keranjang, di sini, malam tadi.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata jalan berkenaan adalah milik kerajaan negeri dan kerajaan negeri tidak berniat untuk menyerahkan jalan berkenaan kepada kerajaan persekutuan.

“Oleh itu sebagai wakil rakyat di kawasan ini saya meminta agar kerajaan persekutuan memulakan projek berkenaan tanpa mengambil alih sepenuhnya jalan terbabit. Jalan ini adalah merupakan jalan utama untuk rakyat di sini dan ia perlu segera diperbesarkan untuk mengatasi kesesakan,” tambahnya.

Katanya masalah berkenaan telah dibincangkan dalam Majlis Tindakan Negeri dan difahamkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

— BERNAMA