Pilih Bahasa

Projek pembangunan tetap diteruskan dalam era kerajaan baharu: Limus

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Limus (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan kewangan dan peralatan kepada wakil jawatankuasa masjid dan surau di Kuala Penyu. – Gambar SNT/Ihsan Dun Kuala Penyu

KUALA PENYU: Projek pembangunan diperlukan rakyat di kawasan ini akan diambil perhatian dan tindakan sebaiknya sahaja peruntukan diperolehi dari kerajaan.

Sehubungan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury berharap rakyat di daerah tersebut dapat bersabar kerana negara baru setahun dalam proses peralihan pemerintahan kerajaan.

“Kita baharu saja melalui proses peralihan kerajaan, justeru kita perlu memberikan ruang secukupnya kepada kerajaan untuk melihat dan mempertimbangkan permohonan projek-projek pembangunan yang lain khususnya di daerah ini.

“Rakyat di negeri ini harus bersama-sama memberikan sokongan padu kepada kerajaan hari ini dalam membawa pembangunan yang berterusan untuk kepentingan rakyat dan negeri Sabah,” katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka bersama masyarakat Islam di surau Kampung Purun dan ziarah ke Masjid Nurul Hayat Pekan Kuala Penyu, semalam.

Limus (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada kanak-kanak yatim dalam majlis berbuka puasa di Kuala Penyu. – Gambar SNT/Ihsan Dun Kuala Penyu

Hadir sama di majlis itu Pegawai Daerah Kuala Penyu, Sebastian Ingkim; Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kuala Penyu, Japinus Kimuin dan Naib Ketua Bahagian Upko Beaufort, Mohd Lokman Sunggim.

Limus berkata beliau menaruh sepenuh keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk meneruskan dasar dan program pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Dalam majlis itu sebanyak 21 buah masjid dan surau di daerah itu menerima sumbangan kewangan sebanyak RM500 dan RM300 serta peralatan seperti kipas, sejadah, alat pembesar suara dan vakum.

Beliau berkata jawatankuasa masjid dan surau diharap dapat memanfaatkan peralatan tersebut untuk kegunaan mereka manakala sumbangan kewangan boleh membantu menyelasaikan bil-bil elektrik dan air dan sebagainya. – SabahNewsToday