Pilih Bahasa

PROJEK PEMBINAAN BEBERAPA SEKOLAH DI PETAGAS LANCAR: UDA SULAI

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Uda (dua dari kiri) meninjau perkembangan pembinaan beberapa buah sekolah semasa mengadakan lawatan ke tapak cadangan SMK Lok Kawi, SK Tombovo, SK Petagas dan SMK Petagas, Putatan. – Gambar SNT / Ihsan Dun Petagas

PUTATAN: Kerajaan negeri akan terus komited dalam membangunkan infrastruktur pendidikan di daerah ini dengan mengambil kira keperluan pelajar yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai berkata projek sekolah daif dan pembinaan sekolah di daerah ini yang dilaksanakan sebelum ini dapat membantu keperluan para pelajar serta mengatasi isu kapasiti sekolah yang mencapai tahap maksimum.

Beliau berkata kerajaan baharu kini memantau rapat perkembangan projek-projek berkenaan supaya ia dapat disiapkan mengikut jadual sepatutnya.

Pembinaan SK Petagas dijangka dapat menampung pertambahan pelajar di sekitar Putatan. – Gambar SNT / Ihsan Dun Petagas

“Saya dari semasa ke semasa perlu memberikan laporan terhadap kemajuan setiap projek yang dijalankan di kawasan supaya Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) mengenalpasti kedudukan projek dilaksanakan di kawasan masing-masing,” katanya.

Uda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Petagas berkata demikian sidang media selepas  mengadakan lawatan kerjanya ke tapak cadangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lok Kawi, Sekolah Kebangsaan (SK) Tombovo, SK Petagas dan tapak pembinaan SMK Petagas, Putatan di sini hari ini.

Mengenai program itu, beliau berkata ia adalah lawatan kerja itu di Dewan Undangan Negeri (Dun) Petagas terhadap pelaksanaan projek-projek di bawah Kementerian Pendidikan.

Uda Sulai (dua dari kiri) mendengar penjelasan daripada ahli majlis daerah semasa mengadakan lawatan ke tapak pembinaan sekolah-sekolah di sekitar Dun Petagas. – Gambar SNT / Ihsan Dun Petagas

Uda menjelaskan lawatan tersebut adalah lawatan kerja seluruh kawasan Dun Petagas mengenai projek-projek yang sedang dilaksanakan di kawasan ini sama ada projek kerajaan negeri atau Persekutuan.

Ditanya mengenai perkembangan pelaksanaan pembinaan SMK Petagas, Uda berkata projek itu dijangka siap pada tahun hadapan sekaligus dapat menampung keperluan pelajar sekolah menengah di daerah berkenaan.

Jelas beliau lagi sekolah baharu yang akan menempatkan 36 bilik darjah dan dilengkapi dengan bangunan kuarters guru, dewan khas serta dewan perhimpunan pelajar itu bernilai kira-kira RM39 juta.

Uda Sulai (kiri) mendengar penjelasan daripada kontraktor semasa mengadakan lawatan ke tapak pembinaan sekolah-sekolah di sekitar Dun Petagas. – Gambar SNT / Ihsan Dun Petagas

“Perkembangan yang saya dimaklumkan dalam program ini berjalan lancar, tiada masalah kelewatan dan pembinaannya dijangka akan siap tahun depan. Sekolah ini memang sangat perlu  disiap dengan segera.

“Kedudukan bilik darjah SMK di putatan sekarang ini sangat sempit kerana kita pada masa ini cuma ada dua sekolah menengah sahaja iaitu di SMK Tansau dan SMK Putatan jadi sudah melebihi kapasiti maksimum, justeru dengan siapnya  projek ini diharap dapat menampung semua bilik darjah yang ada sekarang,” katanya. – SabahNewsToday