Pilih Bahasa

Projek restorasi terumbu Kalampunian libat kos berjumlah RM300,000

KUDAT, 4 Sept — Pemilik kapal kargo MV  Lewang yang terlibat dalam pelanggaran di kawasan terumbu karang Kalampunian, dekat sini, tahun lalu, bersetuju menanggung kos projek restorasi terumbu karang seluas 3,106.71  meter persegi yang rosak akibat kemalangan tersebut.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah Dr Jamili Nais berkata pemilik kapal kargo tersebut iaitu syarikat Rimbaru Sdn Bhd akan membiayai kos baik pulih kerosakan susulan insiden pada 8 Sept 2019 itu sebanyak RM300,000.

“Penggunaan ‘Reef Ball’ dipersetujui digunakan untuk membaik pulih karang dan diharapkan dapat mewujudkan satu persekitaran yang menarik untuk penggemar sukan selam skuba, di samping dapat  menambah baik dan memulihkan  keadaan  karang  di  situ,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Restorasi Karang di Terumbu Kalampunian, Taman Tun Mustapha, di sini hari ini.

Jamili berkata projek restorasi yang turut melibatkan pelbagai pihak itu membuktikan Taman-Taman Sabah (TTS)  sentiasa komited  memastikan  setiap enam taman marin di Sabah yang diwartakan di bawah Enakmen 1984 terus dipelihara.

Taman Tun Mustapha adalah satu daripada enam taman marin di Sabah termasuk Taman Tunku Abdul Rahman, Taman Pulau Tiga, Taman Pulau Sipadan, Taman Pulau Penyu, dan Taman Marin Tun Sakaran.

Berucap lebih lanjut, Jamili menyifatkan keindahan alam marin satu keistimewaan kepada negeri itu, namun ia perlu terus dipelihara bersungguh-sungguh dengan melindunginya dari ancaman dan kerosakan agar keistimewaan itu tidak hilang.

“Kita amat bertuah kerana Taman Tun Mustapha berada dalam Segitiga Terumbu Karang iaitu sebuah kawasan utama diiktiraf dunia yang perlu dipelihara kerana terdapatnya nilai-nilai kepelbagaian biologi marin terutama sekali terumbu karang yang amat tinggi (nilai) di dalamnya.

“Ini sekali gus bermakna perairan di Simpang Mengayau, Kudat adalah sebahagian daripada “The Amazon of the Seas” iaitu gelaran kepada Segitiga Terumbu Karang, yang merangkumi 5.7 juta kilometer persegi perairan enam negara Malaysia, Indonesia, Papua New Guinea, Filipina, Timor Leste dan Kepulauan Solomon,” katanya.

— BERNAMA