Pilih Bahasa

Promosi industri pelancongan menerusi karya filem

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Assafal (tengah) bersama semua pemenang sempena KKIFF 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Penganjuran festival filem di negeri ini dilihat salah satu pendekatan terbaik dalam usaha memperkenalkan keindahan alam semula jadi serta produk pelancongan kepada pelancong luar.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Assafal P Alian berkata Sabah adalah sebuah negeri unik di Asia Tenggera disebabkan memiliki kepelbagaian budaya yang boleh dilihat menerusi perayaan, tarian, muzik dan makanan.

Assafal berkata menerusi inisiatif menganjurkan festival filem, ia mampu membuka peluang kepada pembuat filem mahupun drama tempatan untuk mengadaptasikan semu elemen terdapat di negeri berkenaan menjadi sebuah karya bermutu seterusnya boleh diangkat ke peringkat tertinggi.

“Ini peluang terbaik kita mempromosikan negeri dalam kalangan penggiat seni luar kerana dengan adanya festival seumpama ini, kita lihat pembabitan pembuat filem atau drama bukan hanya terdiri dari penggiat seni tempatan Sabah sahaja malah turut disertai pemain industri daripada Semenanjung, Sarawak dan luar negara.

“Ia juga secara tidak langsung menjadi platform untuk pembuat filem saling berkongsi idea dan pendapat dalam menghasil sebuah karya terbaik serta berkualiti.

“Selain itu, kita turut melihat semakin ramai pembabitan penggiat seni muda yang mampu melahirkan banyak idea baharu dan segar seiring dengan perkembangan teknologi masa kini,” katanya ketika berucap pada Malam Anugerah Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIFF) 2019 di sini, semalam.

Farizie (tiga dari kanan) ketika menerima Anugerah Emas Kinabalu bagi kategori Bahasa Orang Asal menerusi filem Lo Us sempena KKIFF 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Yang turut hadir Pesuruhjaya Tinggi New Zealand Ke Malaysia, Hunter Nottage; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac; Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Jannie Lasimbang dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin.

Dalam pada itu KKIFF yang berlangsung bermula 7 hingga 15 September itu menyaksikan filem Anak Bapa arahan Hyrul Anuar memenangi Anugerah Emas Kinabalu bagi kategori dokumentari manakala filem Story Behind The Wall memenangi Anugerah Perak Kinabalu yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM4,000 dan RM3,000.

Memasuki penganjuran tahun ke 10, KKIFF 2019 turut menyaksikan filem Lu Os arahan Farizie Morinding mengungguli Anugerah Emas Kinabalu untuk kategori Bahasa Orang Asal dan diikuti filem The Sea Gypsy of Semporna bagi Anugerah Perak Kinabalu dalam kategori sama.

Dihadiri kira-kira lebih 150 penggiat seni tempatan dan antarabangsa, Anugerah Emas Kinabalu bagi kategori Hari Malaysia diberikan kepada filem Harmoni hasil karya Shaiful Syawal manakala Anugerah Perak Kinabalu pula dimenangi Adam Taufiq Suharto menerusi filem Balah Tuah.

Sementara itu, karya Temporary Syahrul arahan Samuel Paul diangkat sebagai pemenang Anugerah Emas Kinabalu untuk kategori naratif dan pemenang Anugerah Perak Kinabalu bagi kategori sama diberikan kepada filem Soul of the House. – SabahNewsToday