Pilih Bahasa

PROSES KEPUTUSAN KETUA MENTERI SAH BERJALAN LANCAR

Oleh Mohd Adam Arinin

Omar (dua dari kanan) berbincang sesuatu dengan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji (kanan) dan pengawai kanan polis Sabah di luar mahkamah. Gambar SNT

KOTA KINABALU: Proses keputusan berkenaan Saman Pemula yang difail oleh bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mencabar kesahihan perlantikan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berjalan dengan lancar.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata tiada kejadian yang tidak diingini berlaku terutamanya di kedua-dua pihak parti pemerintah dan pembangkang.

“Seperti mana yang kita tahu bahawa mahkamah telah memberikan keputusan pada petang tadi dan apa yang penting adalah tidak ada kejadian-kejadian yang tidak diingini di laporkan berlaku di persekitaran Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Para penyokong Shafie. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita berterima kasih kepada Polis Sabah melalui kawalan keselamatan yang dijalankan turut membantu melicinkan lagi proses keputusan berkenaan saman berkenaan.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada penyokong kedua-dua pihak yang datang memberikan sokongan kepada pemimpin mereka kerana menunjukkan disiplin yang baik iaitu tidak menimbulkan sebarang kekacauan yang melanggar undang-undang negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mahkamah Tinggi menolak Saman Permulaan Musa yang mencabar perlantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini.

Dalam pada itu, Omar menasihatkan kepada penyokong kedua-dua pihak supaya menghormati keputusan yang telah diberikan oleh Mahkamah Tinggi.

“Kita tidak mahu ada sebarang kekacauan berlaku selepas ini,” jelasnya.

Tambahnya Polis Sabah telah mengerahkan seramai lebih 400 pegawai dan anggota untuk membuat kawalan keselamatan di beberapa kawasan sekitar bandaraya Kota Kinabalu.

“Bagi kawasan mahkamah sahaja, lebih kurang 160 orang anggota berbagai lapisan penugasan termasuk pegawai dan anggota serta bantuan daripada luar iaitu Pasukan Gerakan Am.

“Kerahan pada petang ini bukan sahaja di kawasan mahkamah tetapi juga di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) yang mana kita hantar lebih daripada 120 orang unutk menjaga keselamatan di tempat berkenaan.

“Selain itu, kawasan istana juga kita berikan tumpuan untuk anggota kita bertugas,” katanya.

Sementara itu, kedua-dua penyokong bertali arus memenuhi kawasan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu seawal pukul 12 tengah hari tadi. -SabahNewsToday