Pilih Bahasa

Proses melihat pindaan Ordinan Interpretasi (Definasi Anak Negeri) Bab 64 bermula

Oleh Chris Maskilone

PENAMPANG: Proses pembentukan sebuah jawatankuasa bagi membincangkan cadangan pindaan terhadap Ordinan Interpretasi (Definasi Anak Negeri) Bab 64 telah bermula, kata Pembantu Menteri Undang-Undang dan  Hal Ehwal Anak Negeri, Jannie Lasimbang.

Menurut beliau penubuhan jawatankuasa tersebut berdasarkan cadangan daripada forum sempena Hari Orang Asal Sedunia 2019 peringkat negeri baru-baru ini.

Pembantu Menteri Kepada Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Jannie Lasimbang mengagihkan daging korban kepada tetamu yang hadir sambil diperhatikan oleh rakan Pembantu Menteri Datuk Uda Sulai pada majlis ibadah korban dan kepolisan komuniti di IPD Penampang. Turut kelihatan Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dalam pada itu, perbincangan kini sedang berlangsung diantara setiausaha tetap kementerian dengan rakannya di sebuah lagi kementerian berkenaan proses penubuhan jawatankuasa itu.

Jannie yang ditemui semasa menghadiri majlid Ibadah Korban peringkat Ibu Pejabat Polis Penampang hari ini berkata selain agensi kerajaan yang berkenaan, jawatankuasa tersebut akan turut melibatkan pihak berkepentingan sepertimana yang dicadangkan dalam forum tersebut.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Kapayan itu sebelum ini satu kajian kemudian cadangan untuk meminda interpretasi anak negeri pernah dikemukakan namun kerajaan negeri baharu ingin melihat sekiranya ianya masih relevan sekarang memandangkan ianya dibuat 10 tahun lalu.

“Masalahnya, interpretasi dan definasi anak negeri (dalam undang-undang sekarang) terlalu general dan ramai mengatakan tentang perlunya dibuat satu senarai anak negeri Sabah.

“Tetapi kami di kementerian belum lagi dapat peluang untuk melihat perkara ini dalam masa satu tahun kerajaan baharu ditubuhkan.

“Ini disebabkan kesibukan dalam hal-hal berkaitan pelantikan ketua-ketua adat, pengesahan pelantikan ketua-ketua anak negeri dan juga memberi latihan kepada ketua-ketua adat ini,” katanya.

Jannie menambah semua cadangan yang dibuat dalam forum Hari Orang Asal baru-baru ini telah dikemukakan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Madius dalam ucapan alu-aluan sempena perasmian Hari Orang Asal Sedunia peringkat negeri yang disempurnakan oleh Mohd Shafie berkata isu definasi anak negeri merupakan topik paling hangat dalam forum yang diadakan sebelum majlis perasmian itu Sabtu lalu.

“Pada ketika ini definasi anak negeri tidak konsisten,” ujarnya.

Madius berkata kebimbangan tentang kehadiran pendatang tanpa izin di Sabah yang boleh mendapatkan dokumen kerakyatan dengan mudah melalui pintu belakang dan seterusnya melayakkan mereka sebagai anak negeri turut dibincangkan dengan panjang lebar semasa forum tersebut.

Sementara itu, turut hadir dalam majlis Ibadah Korban IPD Penampang ialah Adun Petagas yang juga Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Uda Sulai serta Ketua Polis Daerah DSP Mohd Haris Ibrahim.-SabahNewsToday