Pilih Bahasa

PROSES PENGAMBILALIHAN SESB HARUS LANCAR; SABAH ENGGAN TANGGUNG HUTANG RM2B – MOHD SHAFIE

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerima cenderahati selepas melancarkan Pesta Singa, Naga dan Unicorn di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk mencari kaedah bagi melancarkan proses pengambil alihan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) setelah ia dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata bagaimanapun terdapat beberapa perkara termasuk melibatkan liabiliti dan cara untuk melunaskan hutang SESB sebanyak RM2 bilion perlu diambil kira sebelum proses pengambilalihan penuh itu dimuktamadkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama isteri hadir pada Pesta Singa, Naga dan Unicorn di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Isu mengenai hutang SESB berjumlah RM2 bilion merupakan perkara utama yang dibangkitkan dalam perbincangan saya dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Perkara ini perlu diselesaikan sebelum kerajaan. negeri ambil alih sepenuhnya.

“Kita juga telah melantik konsultan untuk memeriksa beberapa liabiliti kewangan dalam proses peralihan itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Singa, Naga dan Unicorn di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kota KInabalu di sini hari ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditemui pemberita selepas hadir melancarkan Pesta Singa, Naga dan Unicorn di Dewab Serbaguna Kompleks Sukan Likas. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pengambilalihan SESB oleh kerajaan negeri daripada kerajaan Persekutuan seperti yang diumumkan oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin semalam.

SESB sememangnya ditadbir sepenuhnya oleh kerajaan negeri namun ia dipindahkan kepada Persekutuan apabila 80 peratus ekuiti syarikat utiliti tersebut diambil alih oleh TNB pada 1984.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika melancarkan Pesta Singa, Naga dan Unicorn di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata SESB merupakan utiliti penting dalam merealisasikan pelaksanaan pelan untuk memajukan Sabah sebagai sebuah negeri perindustrian.

Katanya bekalan elektrik yang stabil perlu dalam menarik ramai pelabur dalam pelbagai industri ke negeri ini selain bagi menyalurkan keperluan itu kepada penduduk luar bandar yang masih belum mendapatkan elektrik sepenuhnya.

Tambah beliau lagi walaupun penstrukturan dan penyusunan semula SESB bukan langkah mudah namun ia merupakan tanggungjawab kerajaan negeri untuk memastikannya diurus tadbir dengan baik selepas pengambilan itu. – SabahNewsToday

-ends