Pilih Bahasa

Proses penghantaran sayuran Kundasang semasa PKP kini lancar: Junz Wong

KUNDASANG: Penghantaran sayur-sayuran dan buah-buahan dari Kundasang ke pasaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini berjalan dengan lancar.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong memberi jaminan proses penghantaran itu juga akan diperlicinkan lagi.

Junz (berbaju hitam) bersama Ribin dan Rakam dalam lawatan ke Kundasang bagi memahami isu-isu logistik dihadapi penanam sayur dan buah-buahan pada Ahad. Gambar SNT/Ihsan MAFI

“Saya telah ke Kundasang bersama Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah, Ribin Wahid, Setiausaha Politik MAFI, Rakam Sijim dan pegawai-pegawai Kementerian untuk memahami secara lebih mendalam isu-isu logistik yang dihadapi para petani.

“Secara keseluruhannya, proses penghantaran hasil dari Kundasang ke tempat-tempat lain berjalan lancar.

“Kami telah membeli 35 tan kubis dari Kundasang, 3 tan limau bali dari Tenom dan 1 tan tembikai dari Tawau minggu ini. Sayur dan buah ini akan dieksport ke pasaran di Kuala Lumpur.

“Minggu depan kami akan perolehi kelapa dan pisang,” katanya.

Junz menambah kerjasama lanjut akan dijalankan oleh Kementeriannya bagi memperbaiki proses sedia ada.

“Lanjutan PKP sudah tentu telah menambah kesan ke atas petani dan pemborong sebab itu lebih banyak kerjasama lanjut akan diadakan.

Junz (dua kiri) singgah di Pusat Operasi FAMA di KKIP selepas lawatan kerja ke Kundasang hari ini. Gambar SNT/Ihsan MAFI

“Melalui Jabatan Pertanian, Korporasi Pembangunan Desa (KPD), FAMA Sabah serta agensi-agensi berkenaan, kerjasama erat akan dilaksanakan bagi tujuan memaksimakan hasil petani tempatan. Kami pastikan hasil dibawa sehingga ke pasaran-pasaran di Brunei, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Kerajaan Sabah akan pastikan rantaian bekalan makanan tidak terputus. Dalam proses tersebut, petani tempatan akan diutamakan agar cabaran yang dihadapi boleh diatasi bersama,” katanya.- SabahNewsToday