Pilih Bahasa

PSS bukan untuk PTI dan bukan pembuka jalan untuk beri kewarganegaraan kepada warga asing – Muhyiddin

PAPAR: Pas Sementara Sabah (PSS) hanyalah satu prosedur kawalan imigresen untuk menyeragamkan tiga jenis dokumen iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang dipegang oleh 136,055 warga asing yang menetap di Sabah sekian lama.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan tanda satu sebagai simbolik hanya satu pas sahaja iaitu Pas Sementara Sabah (PSS) akan digunakan untuk menyelaraskan kepelbagaian dokumen warga asing di negeri Sabah sewaktu mengadakan sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama RELA di Dewan Masyarakat Papar hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman (kanan). Gambar Bernama

Namun, ianya bukan bertujuan membuka jalan mudah bagi mereka mendapatkan kewarganegaraan seperti yang didakwa pihak pembangkang.

“Mereka yang diberikan PSS tidak mempunyai apa-apa hak kewarganegaraan. Cuma untuk tujuan kawalan imigresen,” kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PSS juga tidak akan diberikan kepada pendatang tanpa izin (PTI), kata Muhyiddin dalam sidang akhbar selepas Majlis Kenduri Bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Papar, di sini hari ini.Turut hadir Timbalannya, Datuk Mohd Azis Jamman.

Menurutnya PTI adalah orang yang menyalahi undang-undang negara kerana masuk secara haram maka itu harus menjalani proses undang-undang sebelum dihantar balik ke negara asal masing-masing.

“Ya, pendatang asing yang masuk secara haram. Macam di semenanjung, mana-mana yang didapati tiada dokumen akan ditahan di pusat tahanan sementara untuk siasatan dan akan dihantar balik selesai menjalani proses undang-undang,” katanya.

Beliau berkata pengeluaran PSS sebenarnya adalah bagi menyelesaikan isu kepelbagaian dokumen kepada warga asing yang ada di Sabah, sekali gus memudahkan operasi penguatkuasaan.

Berdasarkan kepada rekod Jabatan Imigresen, Jabatan Ketua Menteri dan Majlis Keselamatan Negara terdapat seramai 136,055 yang layak mendapat PSS iaitu 51,646 pemegang IMM13, 47,518 Kad Burung-Burung  dan 36,892 sijil banci.

“Selain itu, PSS adalah sebagai mekanisme kawalan keberadaan dan pergerakan warga asing di Sabah dan pemegang PSS dibenarkan untuk tinggal sementara di Sabah tertakluk kepada syarat-syarat pas yang ditetapkan.

“Bagi saya sepatutnya tidak harus dijadikan isu kononnya sokong PSS sokong PTI. Saya harus katakan di sini ianya tidak benar. Niat kita adalah genuine, ianya juga adalah demi memastikan keselamatan Sabah untuk langkah panjang. Itu tujuan sebenar,” katanya

Sekiranya Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu mereka (BN) juga akan mengambil langkah serupa kerana mereka telah pun memikirkan hal ini sejak 2015 lagi, katanya.

“Memang benar mereka (BN) tidak putuskan, kalau sudah diputuskan sudah dilaksanakan tetapi mereka sudah ada niat berbuat demikian pada ketika itu. Lepas itu dia (BN) kalah (dalam PRU14),” katanya.

“Jadi kita pula ambil alih tak semestinya kita teruskan tetapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita berpendapat ianya juga agak adil dan munasabah untuk tiga sistem (dokumen) itu kita cari jalan supaya diseragamkan.

“Apa yang penting sekarang ianya kini di peringkat kita … mereka telah memikirkan perkara ini dahulu dan sekarang bila kita pula memikirkannya macam dia bantah pula hanya disebabkan mereka sekarang sudah jadi pembangkang.

“Kalau begitu ada muslihat politik. Kita buat ini bukan pasal muslihat politik tapi soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu memberi jaminan bahawa mereka yang berada dalam senarai penerima PSS itu akan diuruskan sebaik mungkin oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Ketua Menteri.

“Ianya tiada kaitan dengan memberi kewarganegaraan … bukan senang untuk beri seseorang kewarganegaraan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, bukan sahaja BN tetapi rakyat Sabah sepatutnya memberi sokongan kepada langkah yang diambil oleh Kerajaan negeri yang disokong oleh Kerajaan Persekutuan.

Pada September tahun lalu, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun tahun ini bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata PSS dikeluarkan dalam bentuk kad bercirikan keselamatan dengan maklumat peribadi pemegang termasuk tempoh sah laku dokumen berkenaan.

Beliau berkata tempoh sah PSS adalah tiga tahun bagi setiap pengeluaran dan perlu diperbaharui semula dan bayaran bagi setiap pengeluaran PSS adalah sebanyak RM120.

“Kuasa pengeluaran PSS adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Negeri Sabah dan ia hanya sah digunakan di Sabah serta tidak boleh digunakan di tempat lain seperi Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Muhyiddin berkata melalui PSS juga pemegang tiga dokuemen berkenaan (IMM13, Kad Burung-Burung, Sijil Banci) dapat bekerja, melakukan urusan bank, mendapatkan pendidikan serta rawatan kesihatan dan berkahwin.

Terdahulu, Muhyiddin menjelaskan bahawa ada rekod di Kementerian Dalam Negeri menunjukkan cadangan untuk melaksana Pas Residen Sementara Sabah (PRESS) yang dibentang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Bilangan II 2015 iaitu sebelum kerajaan baharu memerintah.

“Pada 31 Julai 2015, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah melalui keputusan dalam mesyuarat itu memutuskan bahawa PRESS akan diberikan kepada pemegang IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di Sabah.

“Cadangan dasar PRESS ini juga dibentangkan ke mesyuarat jawatankuasa berkenaan pada 16 Mei 2016 dan mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Dalam Negeri, bersama Ketua Menteri Sabah, pada ketika itu. Namun PRESS berkenaan tidak dapat dilaksana apabila BN kalah dalam pilihan raya lepas, ” katanya.

Muhyiddin berkata selaras dengan peralihan kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH), PRESS itu diteliti semula dan dibentangkan di bawah pentadbiran kerajaan baharu.

“Kita setuju meneliti cadangan itu secara mendalam dengan penambahbaikan dan dibentangkan dalam Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing pada 6 Sept 2019 dan mesyuarat bersetuju melaksanakan PRESS dengan menggantikan nama sebagai PSS.

Ditanya mengenai keputusan kerajaan memberi PSS dan tidak memilih untuk menghantar pulang warga asing itu ke negara asal, Muhyiddin, berkata proses penghantaran pulang merupakan satu penyelesaian jangka panjang memerlukan kerjasama erat secara diplomatik bersama negara-negara terlibat serta melibatkan gerak kerja yang perlu diperincikan secara lebih teliti dan berhati-hati.

Beliau berkata pemberian PSS adalah keputusan jangka pendek bagi membolehkan kerajaan mempunyai data serta rekod keberadaan kumpulan warga asing tersebut yang telah berada sekian lama di Sabah.

“Sehubungan itu, dengan adanya rekod terkini dan teratur, sebarang tindakan jangka panjang boleh dilaksana secara lebih strategik,” katanya, sambil menjelaskan pelaksanaan PSS itu bukanlah isu politik, sebaliknya melibatkan isu keselamatan bagi rakyat Sabah.

Mengulas kenyataan Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang mengaitkan PSS dengan pencerobohan Tanduo di Lahad Datu yang mengorbankan nyawa ramai anggota keselamatan Malaysia beberapa tahun, Muhyiddin berkata ianya tidak logik.

“Bagi saya tidak logik untuk campur aduk semua itu. Dia bekas Menteri Dalam Negeri dan dia juga sahabat saya jadi janganlah cuba putarbelit isu ini,” kata Muhyiddin.-SabahNewsToday