Pilih Bahasa

PSS: Kesungguhan kerajaan terbukti, malah sentiasa cari pendekatan lebih baik

BATU SAPI, 7 Sept — Kerajaan hari ini bukan sahaja telah membuktikan kesungguhan untuk mengatasi masalah lambakan pendatang tanpa izin di Sabah, tetapi akan sentiasa mencari kaedah dan pendekatan lebih baik lagi untuk membanteras kemasukan warga asing secara haram ke negara ini, khususnya ke Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, perkara itu sering dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri bagi mencari pendekatan terbaik untuk mengawal warga asing di negara ini.

Datuk Liew Vui Keong. Gambar Bernama

“Jadi, untuk memberi satu pas identiti iaitu Pas Sementara Sabah (PSS), saya rasa ini satu langkah pertama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan KDN akan sentiasa melakukan lebih baik lagi untuk mengenalpasti siapa yang tinggal di negara kita,” katanya selepas majlis penyerahan wang ehsan kepada mangsa kebakaran di sini anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hari ini.

Beliau diminta mengulas pengeluaran PSS yang diumumkan Menteri KDN Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kota Kinabalu, semalam.

Liew berkata, masalah lambakan pendatang tanpa izin ke Sabah bermula sejak pergolakan di selatan Filipina pada 1970-an, di mana warga negara itu melarikan diri ke Sabah.

“Tetapi selepas beberapa dekad, kita melihat negara jiran ini telah kembali stabil…(tetapi) ada sedikit sebanyak (golongan) yang telah salahgunakan dokumen seperti IMM13 (untuk pelarian dari selatan Filipina) dan menjejaskan keselamatan kita dari segi pengenalan identiti mereka,” katanya.

— BERNAMA