Pilih Bahasa

PSS langkah bijak mengurus pendatang asing di Sabah – Chan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Keputusan bersama Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menggantikan semua dokumen lalu dengan Pas Sementara Sabah (PSS) adalah langkah bijak bagi mengurus kehadiran pendatang asing di negeri ini.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata keputusan yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri kelmarin juga bersesuaian dengan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik.

Chan (tiga kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan melukis kanak-kanak sempena Karnival Merdeka @Komuniti. Di sebelah beliau ialah Pengarah Penerangan Sabah Norzawiyah Bulka (tiga kiri). Gambar SNT/Chris Maskilone

“Ini adalah langkah bijak memandangkan negara akan mula menjalankan pendaftaran pengundi secara automatik. Dalam hal ini amat penting untuk mempunyai daftar pemilihan yang bersih.

“Bagaimana untuk membersihkan daftar pemilih? Kita harus bermula dengan mempunyai maklumat yang tepat mengenai imigran dan juga pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah,” katanya.

Beliau berkata masalah PTI di Sabah tambah sukar diselesaikan kerana “kita mempunyai berbagai macam pas.”

“Kita mempunyai pas burung-burung, IMM13 … kita mempunyai terlalu banyak jenis pas,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai penerbitan PSS mulai Jun tahun depan.

Oleh itu dengan pengeluaran PSS yang menggantikan semua jenis pas berkenaan pendatang asing di Sabah, Chan yang juga setiausaha DAP Sabah berkata pihak berkuasa akan dapat mengetahui bilangan pendatang sebenar di Sabah.

“Mengetahui jumlah mereka yang sebenar sangat penting supaya kita boleh mengurusnya. Ini adalah langkah pertama sebelum kita beralih kepada isu-isu lain seperti berapa ramai daripada mereka sudah termasuk di dalam daftar pemilih,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Merdeka @ Komuniti di perkarangan Wisma Dang Bandang di sini hari ini.

Melalui maklumat ini, status mereka boleh ditentukan sebelum memutuskan langkah seterusnya sama ada mereka harus diusir atau diberikan pas kerja sah tanpa berkompromi dengan hak rakyat di Sabah, jelasnya.

Chan (dua kanan) diiringi Norzawiyah (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Amigos Big Bikers. Gambar SNT/Chris Maskilone

Chan berkata beliau telah mengajukan soalan di Parlimen pada persidangan Julai yang lalu mengenai langkah-langkah susulan yang diambil oleh kerajaan selepas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dikeluarkan pada tahun 2012.

Walau bagaimanapun, pada masa itu Chan berkata kerajaan, terutamanya Kementerian Dalam Negeri tidak dapat memberikan jawapan yang komprehensif.

Namun, dengan kehadiran Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sabah untuk mempengerusikan mesyuarat mesyuarat jawatankuasa pengurusan warga asing bersama dengan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kerajaan Persekutuan dan Negeri berjaya mencapai kesepakatan untuk mengeluarkan PSS, katanya.

Muhyiddin dilaporkan sebagai berkata bahawa PSS akan dikeluarkan mulai 1 Jun tahun depan bagi memastikan penguatkuasaan yang lebih berkesan berikutan adanya satu data pusat dan seragam.

PSS akan dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen negeri dan mempunyai ciri-ciri biometrik, cap jari dan gambar profil pemegangnya.

Kad ini boleh diperbaharui setiap tiga tahun dengan yuran sebanyak RM120.

Terdahulu dalam ucapannya, Chan berharap Perdana Menteri akan mengumumkan berita baik berhubung pemulangan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada Hari Malaysia pada 16 September yang akan diadakan di Kuching tahun ini.

“Saya seorang ahli jawatankuasa teknikal di MA63 jadi saya tahu sudah ada hasilnya. Saya berharap Perdana Menteri akan mengumumkannya pada sambutan Hari Malaysia di Kuching nanti,” katanya.-SabahNewsToday