Pilih Bahasa

PSS perlu bagi memantau pergerakan warga asing di Sabah

KOTA KINABALU: Pengeluaran Pas Sementara Sabah (PSS) yang akan dikeluarkan bermula pada 1 Jun tahun depan bertujuan untuk memantau pergerakan warga asing yang berada di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ia merupakan usaha bagi memastikan tiada pihak yang akan memalsukan dokumen berkenaan yang akan menyukarkan pihak berkuasa memantau pendatang asing.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Kita bagi PSS yang bukan “tetap” untuk memastikan mereka (warga asing) sama ada yang bekerja di ladang-ladang, di tempat tertentu akan dapat dipantau dengan lebih dekat oleh pihak berwajib iaitu Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen.

Sabah mempunyai hampir 500,000 warga asing di Sabah dan bagaimana kita tahu dan lebih baik kita pantau mereka daripada kita tidak tahu di mana mereka berada,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman dividen saham Sabah 2019 di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata perbincangan bersama Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dibuat iaitu keperluan untuk berbincang dengan Filipina bagi memastikan rakyat negara itu yang telah dihantar pulang perlu mempunyai dokumen perjalanan yang sah jika kembali ke Sabah.

Bagaimanapun beliau berkata, mereka yang datang kembali ke Sabah tanpa dokumen perjalanan yang sah dengan melalui laluan “tikus”.

Mohd Shafie juga berkata penghantaran pekerja asing terutamanya yang melibatkan tenaga buruh dari Indonesia juga perlu diurus dengan baik bagi mengelak kekurangan tenaga kerja apabila pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur dijangka menarik warga negara itu ke sana.

Pada Jumaat lepas, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing bersetuju mengeluarkan Pas Sementara Sabah (PSS) bermula 1 Jun 2020 yang diumumkan oleh Muhyiddin selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk bersama Mohd Shafie.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri sentiasa bersiap sedia mengambil langkah berjaga-jaga memantau keadaan udara yang berjerebu melanda negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata kerajaan negeri akan memantau keadaan cuaca di negeri ini dan setakat ini masih dalam keadaan terkawal.

“Kita nasihatkan kepada mereka yang mempunyai ladang supaya tidak membiarkan kebakaran dan jika keadaan cuaca semakin tidak terkawal, sekolah perlu mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.–BERNAMA