Pilih Bahasa

PSS rancang bangun Taman Budaya Sama di Kota Belud

Oleh Sabah News Today

KOTA BELUD: Persatuan Sama Sabah (PSS) merancang membangunkan Taman Budaya Sama di tapak seluas 0.4 hektar di sini sebagai pusat pengenalan budaya Sama dengan menempatkan galeri pakaian tradisi, pentas persembahan seni budaya dan medan hidangan tradisi.

Presiden PSS Datuk Abdullah Sibil berkata rancangan membangun Taman Budaya itu bertujuan untuk melengkapkan lagi pakej pelancongan yang sedang dimajukan dengan pesat di daerah ini.

Musbah menyampaikan watikah kepada Abdullah (dua kiri). Gambar SNT/Ihsan PSS

“Cadangan pengujudan Taman Budaya Sama kini dalam perancangan dan tapak membangunkan taman itu sudah dikenal pasti,” katanya ketika majlis penyerahan watikah pelantikan Ahli Majlis Tertinggi PSS.

Watikah pelantikan itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk Datuk Musbah Haji Jamli di Dewan PSS Haji Sibil, Kompleks Alapbana di sini pada Selasa.

Abdullah menegaskan selain sebagai lokasi pelancongan, usaha membangun Taman Budaya Sama itu juga bertujuan untuk memperkenalkan tradisi warisan budaya Sama kepada masyarakat umum.

Musbah (duduk enam dari kanan) bersama kepimpinan Persatuan Sama Sabah 2019-2022. Gambar SNT/Ihsan PSS

“Semu produk masyarakat Sama akan diketengahkan di taman itu dalam bentuk galeri pakaian tradisi, persembahan budaya dan medan hidangan tradisi Sama,” katanya.

Abdullah berharap kerajaan dapat membantu usaha PSS merealisasikan langkah membangun Taman Budaya Sama itu khususnya dalam aspek pembinaan.

“Kita mahu membuka ruang untuk bangsa Sama mengetengahkan warisan tradisi seperti yang telah diusahakan oleh bangsa-bangsa lain dengan harapan usaha itu dapat merangsang kemajuan bangsa Sama itu sendiri,” katanya.

Abdullah menjelaskan usaha itu sama sekali bukan satu pendekatan berunsur perkauman sebaliknya mahu bergerak seiringan dan saling melengkapi dengan etnik-etnik lain yang sudah ke hadapan.

Sempena penyampaian watikah pelantikan itu, turut diadakan ialah Majlis Jamuan PSS bertema ‘Setemu Serati Dembua Kiti’ yang bererti ‘Bertemu Berkenal Untuk Memperkukuh Perpaduan’.

PSS untuk tempoh 2019-2022 dibarisi timbalan presiden Hj. Abd. Mawah Hj. Ismail, Naib Presiden 1 Dato’ Hj. Rekan Hj. Hussin, Naib Presiden 2 Haslina Oli, Naib Presiden 3 Datuk Mastor Samin, Setiausaha Agung Datuk Jame Alip, Bendahari Agung Datuk Hamzah Sundang, Penolong Setiausaha Agung Zainorain Makbul, Penolong Bendahari Agung Hj. Manchu Kula dan Ketua Penerangan Ismail Yusuf.

Manakala Ahli Majlis Tertinggi terdiri daripada Makbul Manang, Madayim Minudin, Mohd Kamal Hj. Sabdali, Nurdik Hj. Suadin, Lee Bin Satun, Hj. Abdul Majad Halim, Maspi Hj. Peran, Prof. Madya Lamjin Atuh, Laudin Marup, Masli Misun, Nandra Hitong, Etong Terang, Dr. Rafihi Derim @ Wasihim, Sairul Satari, Abd. Alif Saibeh, Tiara Hj. Sibil, Jamliah Pesan, Siti Anifah Saragan dan Kasmahwati Hussin.-SabahNewsToday