Pilih Bahasa

PSS seperti utamakan warga asing daripada rakyat Malaysia dari Semenanjung – Dr Joachim Gunsalam

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Cadangan pemberian Pas Sementara Sabah (PSS) kepada warga asing tanpa dokumen di Sabah dikhuatiri memberi ruang untuk diambil kesempatan olah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kundasang (PBS) Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata isu PSS ini telah menjadi topik perbualan hangat kalangan rakyat Sabah yang gusar menanti pelaksanaannya.

Datuk Dr Joachim Gunsalam (kiri) dan Adun Kiulu Datuk Joniston Bangkuai sebelum persidangan bermula. Gambar SNT/Chris Maskilone

“Jikalau rakyat Malaysia dari Semenanjung terpaksa memperbaharui pas kerja (di Sabah) setiap tahun tetapi pendatang tanpa dokumen pula diberi tiga tahun.

“Di manakah priority? Maka inilah yang dikatakan bahawa kerajaan yang ada sekarang lebih mesra orang asing daripada rakyatnya sendiri,” kata beliau ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2020 di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini pada Selasa.

Dr Joachim turut memetik ucapan dasar presiden PBS Datuk Dr Maximus Ongkili semasa kongres PBS ke-34 baru-baru ini iaitu:

“Terdapat juga kemungkinan besar setiap pas boleh digunakan sebagai dokumen sokongan bagi setiap pemegang pas untuk memohon status Pemastautin Tetap atau PR di Sabah, bahkan kewarganegaraan … setakat ini kita masih belum melihat sebarang maklumat terperinci berkenaan pelaksanaan PSS.”

Menurut beliau, pemimpin partinya itu menyuarakan kebimbangan rakyat akan kemungkinan PSS kelak dijadikan sebagai perniagaan oleh sesetengah individu yang tamak.

Justeru, Dr Joachim memohon agar Kerajaan memperjelaskan proses pelaksanaan sebelum lebih 600,000 warga asing yang dikatakan memegang pas IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di Sabah diberi PSS.

Beliau turut menyentuh mengenai isu pembangunan Tanjung Aru Eco Development (TAED) terutama langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri sekarang.

“Rakyat ingin tahu sama ada pelan pembangunan asal projek ini dikekalkan atau adakan terdapat perubahan.

“Adakah sebahagian atau kesemua projek TAED ini sudah diberikan kepada pemaju dari luar negara dan apakah pendirian Adun Tanjung Aru (Datuk Junz Wong) mengenai isu ini?” soal beliau.-SabahNewsToday