Pilih Bahasa

PTI DAN REMAJA CUBA SELUDUP TONG GAS DITAHAN

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) daerah ini berjaya menahan dua lelaki pendatang asing tanpa izin (PTI) dan seorang remaja tempatan berusia 17 tahun dalam dua tangkapan berasingan yang cuba menyeludup keluar tong gas petroleum cair (LPG).

Tangkapan pertama membabitkan dua warganegara Filipina dibuat pada pukul 11.30 pagi, semalam, di perairan laut Batu 4, Jalan Apas, di sini, semalam.

PPM menahan remaja lelaki berusia 17 tahun dipercayai cuba menyeludup keluar dua tong gas cecair petroleum (LPG) ke Indonesia, pukul 9.30 malam, semalam. Gambar SNT / Ihsan PPM Tawau

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pihaknya menahan kedua-dua PTI berusia 39 dan 57 tahun ketika menjalankan rondaan Operasi Gelora di perairan berkenaan.

Katanya, ketika bot ronda PPM sedang menjalankan rondaan, pihaknya melihat satu bot pam dalam keadaan mencurigakan dan bertindak memintas bot terbabit.

“Bot ronda PPM berjaya memintas dan mendapati seorang juragan serta awak-awak berada di dalam bot terbabit.

”Hasil pemeriksaan lanjut, kedua-dua lelaki tersebut tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Dalam serbuan berasingan, PPM turut berjaya menahan seorang remaja berusia 17 tahun dipercayai cuba menyeludup keluar dua tong LPG, melalui perairan Ice Box, Kampung Titingan, pukul 9.30 pagi, semalam.

”Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua tong LPG disembunyikan di dalam ruang bot jongkong yang digunakan suspek.

“Suspek turut mengaku secara lisan bahawa tong gas tersebut dibawa untuk dipasarkan ke Indonesia,” katanya.

Pajeri berkata, kedua-dua pati dan remaja terbabit ditahan manakala bot termasuk dua enjin dan barangan dianggarkan bernilai RM9,360 dirampas.

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – SabahNewsToday