Pilih Bahasa

PTI Indonesia ditangkap di CIQ Lama Tawau

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Hasrat dua lelaki pendatang asing tanpa izin (PTI) yang mahu mencari pekerjaan di sini tidak kesampaian apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di Custom Immigration Quarantine (CIQ) Lama, pagi tadi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata kedua-dua suspek berusia 20 dan 21 tahun itu ditahan pukul 8.30 pagi sejurus tiba di pelabuhan berkenaan dengan menaiki bot penumpang.

Warga Indonesia yang ditangkap semasa cuba masuk ke Tawau tanpa sebarang dokumen. Gambar SNT/Ihsan PPM Tawau

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki terbabit tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kedua-dua pti dipercayai warganegara Indonesia dan baharu tiba ke daerah ini untuk mencari peluang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan.

Seorang lagi warga Indonesia yang ditangkap ketika cuba masuk di CIQ Lama Tawau. Gambar SNT/Ihsan PPM Tawau

Mohamad Pajeri berkata PTI berkenaan dibawa ke Pangkalan PPM Tawau dan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Kes disiasat dibawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – SabahNewsToday