Pilih Bahasa

PTI tetak warga Australia dipenjara 13 tahun


KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun terhadap seorang pendatang tanpa izin (PTI) yang menetak seorang rakyat Australia di Kampung Lingga, Tamparuli awal tahun ini.

Tertuduh Roy Samad Totong, 37 mengaku salah terhadap pertuduhan dihadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim yang kemudiannya mengarahkan hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap pada Februari lalu.

Roy Samad Totong dihukum penjara 13 tahun selepas mengaku salah menetak seorang warga Australia di Tamparuli awal tahun ini. Gambar SNT/Ehsan IPD Tuaran

Roy yang didakwa menetak Broadhurst Daniel Barry, 46 di kepala dan tangan menggunakan parang pada Januari 24 tahun ini di Kampung Kiwoi, Tamparuli tidak diwakili peguam.

Tertuduh sebelum itu merayu agar dijatuhkan hukuman ringan disebabkan anaknya masih kecil dan dia juga perlu menjaga ibunya.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ali Imran memohon Mahkamah menggenakan hukuman setimpal memandangkan kesalahan tersebut amat serius.

Menurut fakta kes, insiden tersebut berpunca daripada salah faham antara tertuduh dan mangsa sehinggakan mangsa dikejar oleh tertuduh yang bersenjatakan parang.

Mangsa cuba melarikan diri serta memanggil pertolongan namun terus diserang oleh tertuduh di kawasan sunyi berhampiran hutan.

Dilaporkan mangsa ditemui berbaring dengan berlumuran darah di tepi jalan.

Roy didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman 20 tahun penjara maksimum, jika sabit kesalahan.-SabahNewsToday