Pilih Bahasa

Pulau-pulau dikenalpasti sebagai penempatan sekiranya berlaku kemasukan beramai-ramai

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mengambil pendekatan baharu iaitu menempatkan pendatang di pulau-pulau berhampiran sempadan sekiranya berlaku kemasukan beramai-ramai dari Selatan Filipina.

Langkah ini ialah untuk mengelak pendatang-pendatang tersebut daripada masuk ke bumi Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie sedang menjawab soalan mengenai keselamatan dan pendatang tanpa izin di Dewan Undangan Negeri pada Selasa. Gambar SNT/Ihsan Youtube DUN Sabah

Katanya pulau-pulau yang berhampiran dengan sempadan Filipina telah dikenalpasti dan atas dasar perikemanusiaan akan mempunyai ciri-ciri keselamatan serta pusat rawatan asas sekiranya perkara ini terjadi.

“Mungkin mereka ini datang kerana terdapat masalah di negara mereka,” katanya.

“(Namun) kita kena belajar daripada kejadian-kejadian dahulu sejak tahun 70-an dan 80-an (apabila terdapat influx atau kemasukan beramai-ramai dari Selatan Filipina) dan kita terpaksa menampung pendatang-pendatang ini.

“Kita kena bijak dalam mengurus isu ini. Jangan lagi terjadi hal sedemikian. Kita tidak mahu mereka masuk ke bumi Sabah sehingga boleh menjejaskan keadaan keselamatan di peringkat negeri,” jelasnya.

Katanya cara-cara pengurusan sekiranya berlaku kemasukan beramai-ramai dari Selatan Filipina telah dibincangkan dalam Jawatankuasa Keselamatan Negeri yang dipengerusikan oleh beliau.

Mohd Shafie berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Adun Tambunan (Star) Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkenaan bagaimana rakyat negara jiran dapat menembusi sempadan dan keselamatan negara ke Sabah.

Sementara itu, Mohd Shafie menegaskan, pihak keselamatan negeri sentiasa berusaha untuk melakukan operasi-operasi secara berterusan ke atas kehadiran elemen-elemen militan berikutan penangkapan 13 individu di Tambunan dan Sandakan baru-baru ini dipercayai terlibat dalam kegiatan kumpulan pengganas.

“Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) telah dan sentiasa melakukan operasi-operasi untuk menghalang kemasukan militan secara agresif.

“Di samping itu, pertukaran maklumat sentiasa dibuat, selain rondaan keselamatan secara bersama di sempadan perairan Filipina dan Indonesia.

“Kerajaan negeri juga sedang menyiasat terhadap 13 individu berkenaan dan pastikan tindakan susulan dapat diambil,” jelasnya. -SabahNewsToday