Pilih Bahasa

Pusat Hemodialisis Hospital Keningau penuhi keperluan pesakit buah pinggang

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Stephen (enam dari kiri) bersama wakil-wakil penaja makan malam amal tersebut melakukan acara memotong riben pada majlis itu. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Pembinaan Pusat Hemodialisis Hospital Keningau oleh Yayasan Buddha Tzu Chi Malaysia diyakini akan dapat membantu pesakit buah pinggang di daerah itu bagi mendapatkan rawatan dengan mudah dan menjimatkan kos.

Pusat hemodialisis itu akan dilengkapi dengan kira-kira 20 unit mesin rawatan dan dijangka seramai 60 pesakit dapat menerima rawatan di pusat tersebut dalam sehari.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk Stephen Wong berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan usaha pihak NGO tersebut yang mengambil inisiatif membina sebuah pusat rawatan bagi pesakit buah pinggang di Keningau.

“Saya juga berterima kasih dengan Jabatan Kesihatan Negeri kerana bekerjasama serta membantu yayasan ini sehingga ia berjaya memetrai perjanjian dengan Kementerian Kesihatan di Putrajaya pada 14 Mac tahun ini.

“Kerajaan negeri melihat keperluan terhadap pusat rawatan hemodialisis ini adalah sangat tinggi oleh kerana kebanyakan pesakit khususnya di luar bandar sebelum ini menghadapi masalah mendapatkan rawatan kerana kekurangan mesin hemodialisis di hospital,” katanya ketika berucap sempena Makan Malam Amal Yaysan Buddha Tzu Chi Malaysia di sini semalam.

Hadir sama dalam majlis itu ialah, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Christina Rundi dan wakil yayasan tersebut, Chong Chee Kim.

Dalam majlis itu, Stephen turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 daripada kementeriannya bagi membantu pembinaan pusat hemodialisis itu yang keseluruhannya berjumlah RM1.7 juta.

Setakat ini, seramai 58 orang pesakit buah pinggang di Keningau telah membuat pendaftaran awal bagi mendapatkan rawatan di pusat berkenaan apabila siap kelak. – SabahNewsToday