Pilih Bahasa

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Penampang salur sumbangan RM80ribu untuk golongan memerlukan

Oleh Sabah News Today

PENAMPANG: Pusat Khidmat Rakyat P. 174 Penampang membuat inisiatif berkongsi kemeriahan musim perayaan bersama golongan yang kurang bernasib baik.

Pengurusnya, Dora Engchuan berkata mereka kini sedang berusaha menjejak golongan kurang bernasib baik itu untuk menerima sumbangan dan bantuan yang diperlukan.

Salah seorang penerima sumbangan (tiga kanan) daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Penampang. Gambar SNT/Ihsan Pusat Khidmat Rakyat P174

“Ini adalah satu bentuk usaha untuk mengukir senyuman dan memupuk rasa muhibbah dalam kalangan mereka yang kurang bernasib baik semasa musim perayaan.

“Seramai 470 warga emas dan kurang upaya telah dijejaki untuk menerima pelbagai bantuan dengan nilai keseluruhan RM80,000.

“Jumlah itu, tidak termasuk bantuan kerusi roda dan tongkat kepada penerima-penerima yang amat memerlukan alat bantuan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dora menjelaskan usaha berkenaan masih giat dijalankan yang mana terdapat tiga lagi kampung bakal menerima bantuan menjelang penghujung bulan ini.

“Usaha seumpama ini sebenarnya telah menjadi aktiviti Pusat Khidmat Wakil Rakyat Penampang sejak tahun lalu ketika sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu Cina.

“Malah, baru-baru ini ketika bulan Ramadan, sumbangan ikhlas juga disalurkan kepada warga anak yatim untuk berkongsi kegembiraan kepada mereka bagi meraikan Syawal,” katanya.

Sementara itu, Darell merangkap Ahli Parlimen Penampang yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata tumpuan kepada golongan warga emas, kurang upaya dan anak yatim tidak boleh dipinggirkan apatah lagi ketika musim-musim perayaan.

“Saya mengambil pendekatan yang sedikit berbeza dengan memberi sumbangan kepada warga emas, anak yatim dan mereka yang kurang upaya kerana kita harus menghargai.

“Kita tidak boleh melupakan mereka dan saya berharap semua orang akan merasa gembira ketika musim perayaan ini,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa usaha murni itu menjadi kesinambungan kepada usaha bantuan rakyat di kawasan Penampang seperti membaiki parit, jambatan dan jalan raya kampung serta pelbagai infrastruktur lain dalam kawasan parlimen terbabit.

Menurutnya, pada 31 Mei lalu, masyarakat Kadazan, Dusun, Murut (KDM) dan rakyat Sabah keseluruhannya meraikan Pesta Kaamatan atau ‘Magavau’ iaitu sebuah perayaan khas untuk menghormati ‘Bambazon’ (semangat padi) yang mana menjadi amalan secara tradisi kaum KDM sejak zaman berzaman. -SabahNewsToday