Pilih Bahasa

Pusat pemasangan kereta mampu beri peluang pekerjaan kepada anak Sabah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Jaujan (tengah) menyampaikan sumbangan kepada pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke universiti awam. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Pembinaan pusat pemasangan kereta Proton di Sabah yang dicadangkan oleh kerajaan negeri mampu memberi peluang pekerjaan kepada individu yang berkemahiran khususnya graduan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata negeri ini memiliki kawasan yang luas bagi membangunkan kawasan perindustrian bukan sahaja dalam industri automotif malah elektronik sekaligus mampu mengatasi masalah pengangguran. 

Justeru itu beliau menyeru pelajar yang akan melangkah ke universiti awam atau swasta perlu bijak dalam memilih kursus yang memiliki kebolehpasaran selepas tamat pembelajaran kelak.

Mohd Sirhan (kiri) bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang Pendidikan Khas Minor Bahasa Inggeris dan rakannya Muzhaffar Matusin pula melanjutkan pelajaran dalam bidang kajian politik dan pemerintahan. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Sabah dan Indonesia adalah antara yang memiliki permintaan tinggi dari segi pengeluaran kenderaan pacuan empat roda. Jika ada pusat pemasangannya di Sabah, maka permintaan kenderaan akan bertambah dan peluang pekerjaan makin banyak dari segi industri automatif. 

“Pelajar dari universiti perkhidmatan awam atau swasta bukan hanya perlu bijak dari segi akademik namun juga perlu ada kemahiran kerana kedua-duanya akan digunakan ketika bekerja nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Progam Melangkah Ke Menara Gading Pelajar Sekolah Menengah Semporna, di Dewan Majlis Daerah Semporna serta menyampaikan sumbangan peribadi kepada seramai 224 pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari lima buah sekolah menengah daerah itu.

Dalam pada itu Jaujan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulabayan berkata beliau juga menyeru agar mahasiswa tidak mengharap peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam semata-mata selepas tamat pengajian. 

“Jangan masuk universiti untuk dapat ijazah sahaja dan keluar tidak ada kerja. Kaji dulu bidang yang sesuai dan mempunyai permintaan yang banyak di luar,” jelasnya.

Mohd Suhailie bakal melanjutkan pengajian dalam bidang pengurusan teknologi di Universiti Tun Hussien Onn (UTHM). – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Sementara itu, seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bugaya, Mohd Suhailie Bakri, 20, berkata kemahiran dan akademik perlu seimbang jika mahu mendapat peluang pekerjaan selepas tamat pengajian. 

Dia yang berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang pengurusan teknologi di Universiti Tun Hussien On (UTHM) berminat dalam bidang kemahiran ekoran permintaan pasaran pekerjaan berkenaan pada masa kini semakin luas bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara. 

“Kedua-duanya (akademik dan kemahiran) amat penting kerana itu yang diperlukan dalam dunia pekerjaan nanti. Bukan sahaja peluang itu boleh diperoleh di Malaysia malah luar negara turut perlukan pekerja yang berkemahiran,” katanya yang bercita-cita sebagai juruteknik komputer atau penasihat dalam bidang komputer. 

Mohd Sirhan Zulhilmi Ferdinand, 20, yang bercita-cita menjadi seorang pendidik berkata dia ingin melihat masyarakat khususnya pelajar di daerah ini berjaya bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga kemahiran. 

“Saya akan tekankan dari segi pembelajaran seimbang daripada semua segi iaitu keagamaan, kerohanian, akademik dan kemahiran seperti yang dikatakan Datuk Jaujan Sambakong sebentar tadi,” katanya. – SabahNewsToday