Pilih Bahasa

Pusat pembelajaran bantu kanak-kanak autism

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Sabah Autism Society bakal membuka sebuah pusat pembelajaran dalam usaha membantu kanak-kanak autism di negeri ini memperoleh pendidikan terbaik.

Timbalan Pengerusi persatuan, Hanna Loh berkata bangunan pusat pembelajaran berkenaan adalah sebuah dua tingkat yang terletak di Taman Salut Perdana dalam kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Sepanggar yang berkeluasan 2’000 kaki persegi.

Hanna Loh. Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Hanna berkata pusat pembelajaran itu kini sudah 75 peratus proses pengubahsuaian.

“Kita berharap ia dapat disiapkan dalam jangka masa terdekat supaya boleh memulakan operasi sekitar bulan hadapan.

“Ia boleh menampung kira-kira 30 murid autism apabila siap sepenuh kelak.

“Dalam pada itu, kita juga sudah mula membuka pendaftaran kepada ibu bapa yang mahu anak mereka mendapat pendidikan di sini namun had umur hanya antara empat hingga 12 tahun sahaja selain kemasukan adalah terhad,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Makan Malam Amal dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Teringgi Swepa Sesi 2019-2021, di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Swepa, Lai Fui Nar.

Swepa menerusi majlis makan malam amal itu mensasarkan kutipan amal RM10,000 bagi disalurkan kepada Sabah Autism Society dalam usaha membantu persatuan berkenaan melaksanakan pelbagai aktiviti bagi golongan autism.

Acara terbabit dijangka bakal dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Dihadiri kira-kira 600 tetamu, makan malam terbabit berlangsung di Magellan Grand Ballroom, Sutera Harbour Resort pada 10 November hadapan.

Sementara itu, Hanna berkata pihaknya masih dalam usaha mengumpul dana sekitar RM400,000 membabitkan pelbagai aspek pembukaan pusat pembelajaran kanak-kanak autism di bawah persatuan.

“Jumlah ni termasuklah kos ubahsuai, penyelenggaraan dan operasi.

“Setakat ini kita masih berusaha untuk mengumpulkan dana ini dan berharap lebih banyak pihak sudi membantu,” katanya. -SabahNews Today