Pilih Bahasa

Pusat pensterilan mampu tingkatkan perkhidmatan perubatan negeri

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Pewujudan kemudahan pensterilan yang disediakan oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mampu pertingkatkan perkhidmatan perubatan dalam negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata inisiatif berkenaan selari dengan kehendak kerajaan negeri dalam kerja-kerja pensterilan peralatan hospital kerajaan dan pusat perubatan swasta.

Mohd Shafie (dua kanan) menandatangani plak perasmian pusat berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Dengan adanya Pusat Servis Pensterilan (Sterilization Service Centre) ini, maka kos untuk tujuan itu dapat dikurangkan

“Pada masa sama, penyediaan kemudahan ini dapat dilakukan dengan kadar masa singkat.

“Sudah pasti ini akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan sampingan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata ketika demikian selepas merasmikan Pusat Servis Pensterilan, di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), hari ini.

Katanya perkhidmatan tersebut bukan sahaja mempunyai potensi besar dalam pensterilan tetapi beberapa perkara yang perlu ditingkatkan dalam sistem perubatan seluruh negeri.

Jelasnya sektor perubatan dalam negeri masih memerlukan lebih ramai kepakaran, ubat-ubatan, peralatan serta perkhidmatan seumpamanya.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan mencadangkan agar perkhidmatan seumpamanya diperluaskan ke hospital yang terletak di bandar utama lain dalam negeri ini seperti Tawau, Sandakan, Keningau serta lain-lain kawasan. -SabahNewsToday