Pilih Bahasa

Puspanita mampu bantu kerajaan

KOTA KINABALU: Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) perlu memainkan peranan meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam terutama dalam menyebar luas dasar serta hasrat kerajaan secara terus kepada rakyat.

Pengerusi Puspanita cawangan daerah Papar, Hajah Ijat Matzakir berkata sebagai satu-satunya persatuan yang sebahagian ahli adalah penjawat awam dan pelaksana dasar kerajaan, Puspanita harus memainkan peranan lebih besar.

Dr Daud, Ghulam, Adanan, Ijat dan Noorfaridah merakamkan gambar kenangan bersama ahli jawatankuasa Puspanita cawangan daerah Papar. Gambar SNT/Ihsan Puspanita Papar

“Sektor perkhidmatan awam kini berdepan dengan realiti semasa di mana terasnya adalah untuk menyampaikan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah kepada rakyat.

“Anggota Puspanita juga dapat menyediakan platform dengan mengabungkan dan merapatkan hubungan sirahtulrahim antara anggota kerajaan dan isteri-isteri kakitangan dengan menyokong agenda-agenda kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Seraha Tugas Pengerusi dan Penasihat serta penyampaian watikah perlantikan ahli jawatakuasa Puspanita cawangan daerah Papar 2019-2020 di Kota Kinabalu semalam.

Noorfaridah (kanan sekali) menyerah tugas kepada Ijat (kiri sekali) sambil disaksikan oleh Dr Daud, Ghulam dan Adanan. Gambar SNT/Ihsan Puspanita Papar

Turut hadir sama Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr. Daud Yusuf, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Adanan Atin yang juga mantan Pegawai Daerah Papar, Pegawai Daerah Papar yang baru, Ghulam Rasul Hapil, mantan Pengerusi Puspanita cawangan daerah Papar, Noorfaridah Haji Othman, Penolong Pegawai daerah Papar Ibrahim Terki serta ahli jawatankuasa Puspanita yang baharu.

Menurut beliau, berpersatuan menuntut pengorbanan dan masa, ianya tidak dapat dilaksanakan tanpa keikhlasan dalam menjalankan tanggungjawab yang diberi.

Beliau juga sedar bahawa faktor masa dan keadaan ruang untuk mengadakan aktiviti amatlah terhad dan jangan jadikan alasan menghalang anggota untuk melakukan sebarang aktiviti yang dilaksana jelasnya.

Tambah beliau anggota Puspanita perlu sentiasa berusaha gigih dari keadaan yang baik menjadi lebih baik dan yang lebih baik menjadi yang terbaik.

Dalam majlis itu turut diadakan penyerahan watikah pelantikan ahli jawatankuasa Puspanita cawangan Papar yang baru terdiri Timbalan Pengerusi, Hilda Liew, Setiausaha, Asmah Atal Muhammad, Timbalan Setiausaha, Faridah Bakar, Bendahari, Fahzean Haji Mohiddin, Timbalan Bendahari Fauziah Abd Hamid, Pengerusi Biro Agama, Bibi Meria Shadat, Pengerusi Biro Kebajikan dan Kesihatan, Marsita Sayun, Pengerusi Biro Pendidikan, Arbinah Haji Senor, Pengerusi Biro Serantra Dk Mastura Pg Ismail, Pengerusi Biro Lawatan, Sukan dan Rekreasi, Rahimah Daud, Pengerusi Ekonomi Rumah Tangga, Rosni Abdullah dan Pengerusi Biro Rumah Rehat, Meria Petrus.-SabahNewsToday