Pilih Bahasa

PUTATAN RUN PERTAMA PADA 29 DISEMBER INI

Nurfaezah (tengah) bergambar kenangan dalam kunjungan hormat kepada Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim di IPD Penampang, hari ini.

PUTATAN: Program Putatan Run anjuran bersama DUN N18 Petagas yang julung kali diadakan pada 29 Disember hadapan dijangka menjadi titik tolak dalam membestarikan budaya bersukan bagi penduduk di daerah ini.

Pengerusi Penganjur Putatan Run, Nurfaezah Mohd Said berkata penyertaan yang memberangsangkan daripada peserta setakat ini dilihat mampu menjadi pemangkin positif dalam membudayakan sukan terutamanya acara maraton dan larian di Putatan.

Beliau berkata Putatan Run yang dianjurkan oleh pihak MME dengan kerjasama Pertubuhan Suara Anak Muda Sabah (SUARA) itu dapat mempromosikan destinasi-destinasi menarik di daerah berkenaan.

“Program Putatan Run 2018 anjuran bersama DUN N 18 Petagas yang diketuai oleh wakil rakyatnya Datuk Uda Sulai (Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah) dijangka menerima sambutan ditambah lagi ianya merupakan kali pertama diadakan.

“Sehubungan itu, kami jawatankuasa penganjur amat berharap agar semua pihak menyokong program sukan seperti ini sekaligus dapat mempromosikan daerah serba membangun di Putatan,” katanya.

Nurfaezah berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat dengan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim di pejabatnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.

Hadir sama adalah ahli jawatankuasa penganjur Putatan Run yang terdiri daripada Juriah Uda, Bibianah Mustafa, Pg Mohd Shahif Pg Tinggal, Valentine Collins, Asfarizam Abdullah dan Pengerusi SUARA, Helmi Shahril Ag Kassim.

Untuk rekod, program Putatan Run menawarkan larian sejauh 11 kilometer bermula di garisan pelepasan di parkir Dewan Sri Putatan sebelum merentasi kawasan Ketiau dan berakhir di lokasi sama berhampiran Dewan Sri Putatan.

Selain program larian yang bermula jam 6 pagi itu, turut diadakan adalah acara tarian sihat Zumba dan gerai jualan.-SabahNewsToday