Pilih Bahasa

Putrajaya digesa perbetulkan perbezaan 57 peratus harga diesel antara Sabah dan semenanjung

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Junz Wong menggesa Putrajaya memperbetulkan perbezaan harga diesel industri antara Sabah dengan Semenanjung Malaysia.

“Diesel industri di Sabah dijual pada harga RM1.73 meskipun harga di Semenanjung Malaysia adalah RM1.10.

Datuk Junz Wong. Gambar Fail SNT

“Pemain industri kita di Sabah terpaksa membeli diesel pada harga 57 peratus lebih mahal daripada Semenanjung Malaysia. Ini tidak boleh diterima.

“Sebab apa Putrajaya memaksa pemain-pemain industri Sabah membeli diesel pada harga 57 peratus lebih mahal daripada Semenanjung?” tanya beliau.

Junz yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata layanan Putrajaya terhadap Sabah akan membantutkan pertumbuhan ekonomi Sabah.

“Sabah merupakan pengeluar minyak negara, namun kilang-kilang dan para nelayan di Sabah terpaksa membeli diesel dengan harga yang jauh lebih mahal berbanding Putrajaya.”

Beliau menyeru orang ramai terus menyuara kebimbangan ini untuk masa depan Sabah.

“Saya harap Putrajaya akan memperbetulkan kesilapan ini. Saya harap wakil dari Sabah yang berjawatan di Putrajaya tidak membelakangkan warga Sabah, sebaliknya bersama dalam gesaan agar ketidakadilan ini diperbetulkan.”-SabahNewsToday