Pilih Bahasa

Race For Water bantu tingkatkan kesedaran masyarakat pencemaran plastik

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kapal layar mewah, Race For water tiba di negeri ini dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya berkaitan pencemaran plastik.

Ketua Ekspedisi merangkap Presiden Race For Water, Marco Simeoni berkata pihaknya mahu menyampaikan maklumat tentang bahayanya pembuangan plastik ke dalam laut di seluruh dunia.

Kru berada di atas kapal layar mewah Race For Water. -Gambar SNT/ Ihsan Race For Water

Marco menyatakan masalah pencemaran daripada plastik adalah masalah global yang perlu diselesaikan secara mampan malah memerlukan sokong daripada semua pihak.

“Plastik antara bahan buangan yang sukar reput malah mengandungi bahan berbahaya sekiranya tidak dilupuskan dengan baik.

“Apabila dibuang ke dalam laut, ia pastinya memberi kesan pencemaran kepada air kita yang dikemudiannya kembali diproses untuk kegunaan manusia.

Ketua Ekspedisi merangkap Presiden Race For Water, Marco Simeoni. -Gambar SNT/ Ihsan Race For Water

“Hidupan laut juga akan terkena kesan tindakan kurang bertanggungjawab ini. Banyak video memaparkan kesengsaraan hidupan laut seperti penyu atau hidupan laut lain ekoran perbuatan membuang plastik ke laut,” katanya ketika ditemui pada sidang media Race 4 Water Odyssey-Kota Kinabalu Stop Over, dekat sini, hari ini.

Acara terbabit disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen), Datuk Liew Vui Keong.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen), Datuk Liew Vui Keong. -Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

Tiba di Sabah pada 20 Ogos lalu, kapal berkenaan daripada Indonesia dan akan singgah di negeri ini selama lebih 20 hari sebelum meneruskan pelayaran ke Pahlawan, Filipina.

Race For Water mula melancarkan pelayaran pertama pada tahun 2015 bagi membuat penilaian global ke atas pencemaran plastik di laut.

Antara lokasi sudah lawati seperti Pulau Solomon, New Kaledonia, Indonesia dan Vanuatu.

Liew (lima dari kanan) bersama kru kapal dan tetamu kenamaan lain ketika berada di dalam kapal layar Race For Water di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

Sementara itu, Liew berkata pihaknya sentiasa mengalukan pelbagai inisiatif yang memberi kesan positif kepada alam sekitar termasuklah golongan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kita memuji usaha dilaksanakan Race For Water ini dan berharap masyarakat kita boleh mengikuti langkah mereka tentang kesedaran pentingnya menjaga keindahan alam daripada sebarang pencemaran,” katanya.  -SabahNews Today.