Pilih Bahasa

Raja Muda Perlis titah aspek pendidikan perlu ditekankan untuk kejayaan pelajar

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah Malaysia adalah sebuah negara yang banyak memberi penekanan terhadap aspek pendidikan ke arah membangun dan mencapai kemajuan serta kecemerlangan.

Baginda bertitah kerajaan sudah membentuk pelbagai dasar termasuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 hingga 2015 bagi membentuk generasi baharu yang dapat memenuhi aspirasi dan keperluan negara di masa hadapan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merasmikan Surau Musolla Sharifah Khafreena Nuraniah SMK Titingan Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Sesungguhnya pendidikan amat penting kerana kekuatan dan ketahanan negara adalah berasaskan masyarakatnya yang berpendidikan tinggi,” kata baginda.

Baginda bertitah demikian ketika Program Titian Kasih Mega Tahun 2019 Peringkat SMK Titingan anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTPS) Perlis, di sini hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan sumbangan kepada pengetua SMK Titingan. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Titah baginda, bagi menghasilkan pendidikan yang bermutu tinggi guru perlu lebih ke hadapan dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang mampu menggalakan pelajar untuk berfikir secara kreatif dan inovatif.

“Gunakanlah kemahiran dan pengetahuan pedagogi bersifat kreatif dan inovatif serta menerapkan unsur-unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bagi menjadikan pembelajaran sentiasa menarik dan menyeronokkan pada sebilang masa.

Murid SMK Titingan menyampaikan cendera kenangan hasil tulisan khatnya kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Tuanku Syed Faizuddin dalam pada itu bertitah, guru sebagai pelaksana utama bidang pendidikan berhadapan pelbagai cabaran dalam aspek Integrasi Nasional, pendemokrasian pendidikan, kepelbagaian budaya dan gejala sosial.

“Negara memerlukan guru-guru yang komited, berdedikasi dan mampu berhadapan semua cabaran tersebut dan kita yakin semua akan berjaya melaksanakannya dengan yang terbaik,”ujar baginda lagi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menanam pokok bunga kertas di SMK Titingan Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Baginda turut menyeru pelajar supaya sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu yang releven dan menjadi modal insan berdaya saing, berfikiran terbuka kehadapan, berpengetahuan dan matang.

“Pelajar perlu menghindari perkara negatif dan menggunakan peluang sebaiknya berada di sekolah untuk mengasah bakat, membaiki potensi diri demi mencipta kecemerlangan seterusnya menyumbang kepada bangsa, agama dan negara,”jelas baginda.

Dalam majlis sama baginda turut berkesempatan merasmikan Surau Musolla Sharifah Khafreena Nuraniah di sekolah berkenaan dan menanam pokok bunga kertas.

Sebelum itu baginda turut hadir merasmikan program sama di SMK Jalan Apas dan merasmikan dewan sekolah itu yang diberi nama Dewan Tuanku Lailatul Shareen Akashah.

Pada majlis itu juga baginda menyaksikan penyampaian beberapa sumbangan dan sumbangan peribadi.-SabahNewsToday