Pilih Bahasa

Rak makanan percuma bantu murid kurang berkemampuan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

SANDAKAN: ‘Semua makanan dan minuman dalam rak ini adalah percuma untuk murid yang memerlukan … Ambillah … Makanlah … Berdasarkan keperluan’.

Itu kata-kata terdapat pada rak penyimpan yang terletak di luar bilik guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Konven St Cecilia di daerah ini pada setiap  hari Selasa, Rabu dan Jumaat saban minggu.

Pelajar SMK Konven St Cecilia, Sandakan ketika projek minuman percuma di sekolah mereka. -Gambar SNT/ Ihsan Maisarah Hannan

Menyedari ramai pelajar sekolah tidak membawa duit belanja harian mendorong seorang guru kaunseling berkenaan melaksakan Projek Makanan Percuma demi memastikan semua pelajar tidak berlapar sepanjang waktu persekolahan.

Maisarah Hannan, 34, berkata inisiatif itu dilaksanakannya selepas melihat perkara berkenaan dibuat oleh Pertubuhan Kebajikan Anak Leluhur Nusantara Negeri Sabah (PERKALAS) di Hospital Duchess of Kent Sandakan namun sedikit berbeza apabila rak dikenali sebagai ‘Rak Syurga’ itu dipenuhi barangan makanan dan keperluan bayi yang boleh diambil secara percuma untuk golongan memerlukan.

Rak bagi Projek Makanan Percuma diletakkan di luar bilik guru SMK Konven St Cecilia untuk diambil oleh pelajar sepanjang sesi persekolahan. -Gambar SNT/ Ihsan Maisarah Hannan

“Selepas melihatnya, saya terus terfikir bagi membuat pendekatan sama di sekolah sekitar Mac tahun untuk membantu pelajar kurang berkemampuan memperoleh makanan dan ia diteruskan sehingga tahun ini.

“Permulaan projek ini, saya hanya meletakkan 15 hingga 20 bungkus makanan sahaja dengan kewangan sendiri tetapi kini makanan sudah bertambah kira-kira 50 bungkus sehari.

Maisarah (kiri) bersama pelajar SMK Konven St Cecilia, Sandakan ketika Projek Minuman Percuma di sekolah berkenaan. -Gambar SNT/ Ihsan Maisarah Hannan

“Tetapi setakat ini aktiviti amal berkenaan cuma mampu saya laksanakan tiga hari seminggu dan sewaktu sesi persekolahan sebelah petang sahaja disebabkan faktor kekangan masa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya mengenai penerimaan pihak sekolah ke atas usaha murninya itu, Maisarah berkata pentadbiran menyokong penuh usaha ini malahan tidak menyangka seluruh warga sekolah, ibu bapa dan orang awam turut sama menyalurkan sumbangan bagi projek ini.

Pelajar SMK Konven St Cecilia, Sandakan ketika projek minuman percuma di sekolah mereka. -Gambar SNT/ Ihsan Maisarah Hannan

Bagaimanapun, guru kelahiran Tawau itu berkata projek minuman pula pula hanya dilaksanakan seminggu sekali samaada dibuat pada hari Selasa atau Khamis.

Menurut Maisarah, penyumbang hanya memberikan sumbangan berbentuk wang ringgit dan dia kemudiannya akan menguruskan berkaitan makanan serta minuman untuk diberikan semula kepada pelajar.

“Menu makanan bagi projek ini pula akan kerap bertukar termasuklah mee goreng, nasi lemak, nasi kuning, kuih-muih atau roti.

“Pelajar boleh mengambil mengikut keperluan masing-masing pada waktu rehat.

“Saya bersyukur matlamat program amal ini dibuat bukan hanya mahu membantu golongan pelajar tetapi menyebarkan kasih sayang sesama insan,” katanya.

Sementara itu, Maisarah berkata dia berharap projek terbabit boleh terus dibuat untuk kedua sesi persekolahan pagi dan petang pada masa hadapan agar usaha berkenaan boleh membantu lebih ramai murid di sekolahnya. -SabahNews Today