Pilih Bahasa

RAKAN KONGSI JANGAN HANYA SEKADAR ATAS KERTAS: ANIFAH

Oleh Chris Maskilone

KUALA LUMPUR: Taraf rakan kongsi Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia perlu diterjemahkan kepada dasar dan bukan hanya sekadar atas kertas.

Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman menyatakan persetujuan Kabinet Persekutuan mengembalikan taraf rakan kongsi atau equal partners kepada Sabah dan Sarawak melalui pindaan Perlembagaan Malaysia disambut baik.

Datuk Seri Anifah Aman. Gambar Fail SNT

“Ini bermakna Sabah dan Sarawak tidak lagi menjadi salah satu daripada 13 negeri dalam Malaysia tetapi kembali ke status asal seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Ini juga akan membuktikan bahawa Kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan berusaha menunaikan janji yang telah dibuat kepada rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Namun, Bekas Menteri Luar Negeri itu mengingatkan bahawa rakyat Sabah dan Sarawak akan terus menuntut supaya status rakan kongsi yang dikembalikan bukan hanya “lip service.”

“Kita mahukan lebih peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek–projek pembangunan di Sabah dan Sarawak supaya keselesaan dan kesejahteraan yang dinikmati oleh rakyat di Persekutuan Tanah Melayu dapat juga dirasai di Sabah dan Sarawak.

“Oleh itu, untuk membangunkan Sabah dan Sarawak sebagai “equal partner”, kerajaan tidak boleh terbawa-bawa dengan isu viabiliti, tetapi harus bersedia dengan izin, “to break the glass ceiling” demi kesejahteraan rakyat.

“Kita harus ingat bahawa hak-hak istimewa Sabah dan Sarawak adalah termaktub dalam MA63 dan di dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya semasa mengambil bahagian dalam perbahasan usul menjunjung kasih terhadap Titah diRaja di Dewan Rakyat hari ini.

Anifah turut mengajukan soalan kepada Perdana Menteri tentang langkah serta hak yang akan dikembalikan kepada rakyat Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63 apabila usul penggembalian status Sabah dan Sarawak diluluskan nanti.

“Apakah terma-terma rujukan bagi membolehkan pengembalian hak-hak kepada Sabah dan Sarawak?” soal beliau.

Ahli Parlimen bebas itu turut meminta penjelasan mengenai hak Sabah dan Sarawak terhadap pengeluaran hasil minyak dan gas.

“Kita semua sedia maklum bahawa menurut MA63, Sabah berhak ke atas 40 peratus daripada hasil yang diperolehi Kerajaan Persekutuan di Sabah.

“Bagaimana pula dengan 10 peratus daripada hasil minyak dan gas seperti yang termaktub dalam Jadual 10 Perlembagaan Persekutuan?”

Katanya meskipun kerajaan Sabah dan kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan jumlah 5 peratus pada tahun 1976, jumlah itu sudah tidak adil pada zaman sekarang.

“Jika kita mengambil kira kadar inflasi dan kos harga barang pada masa kini, bagaimanakah pembangunan fizikal dapat dilaksanakan dengan hanya 5 peratus daripada hasil minyak sedangkan Sabah adalah pengeluar minyak terbesar di Malaysia?”

Merujuk kepada pengumuman 8 Mac 2019 bahawa keuntungan Petronas bagi tahun kewangan 2018 telah meningkat sebanyak 22 peratus kepada RM55.3 billion, Anifah bertanya sama ada Sabah juga berhak ke atas keuntungan Petronas itu.

“Kita juga tahu bahawa Kerjaan Persekutuan telah mengutip jumlah cukai yang tertinggi iaitu RM137.035 billion,” katanya lagi.

Keadaan ini sudah pasti mengubah kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan yang selama ini seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan Kerajaan Persekutuan bahawa walaupun sememangnya ia hendak membayar apa yang tertunggak kepada Kerajaan Sabah namun dihalang kekangan keadaan kewangan, katanya.

“Untuk itu saya ingin mendapat kepastian dari Menteri Kewangan bilakah Kerajaan Persekutuan dapat memulakan bayaran apa yang tertunggak oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sabah.

“Dan bilakah perbincangan serta kajian semula dengan izin Sabah Special Grants dan kadar pembayaran royalti kepada Kerajaan Sabah dapat dilaksanakan?”

Beliau juga berkata dalam keadaan kewangan yang tidak baik namun Kerajaaan Persekutuan masih bersetuju untuk meneruskan pelbagai projek pembangunan di Semenanjung Malaysia seperti projek mega ECRL yang bernilai puluhan bilion ringgit.

“Untuk itu apa salahnya jika sejumlah wang diperuntukkan juga bagi pembinaan infrastruktur di Sabah dan Sarawak seperti jalan raya, kemudahan eletrik dan air,” ujar beliau.

Anifah berkata sekiranya kerajaan tidak dapat menyalurkan kewangan bagi membaik pulih serta membina jalan raya untuk Sabah dan Sarawak maka cetusan idea Menteri Pembangunan Usahawan untuk membina Kereta Terbang mungkin boleh dipertimbangkan.

“Sesuai benarlah projek kereta terbang tersebut dimajukan untuk Sabah dan Sarawak dan boleh dibuat menggunakan buluh agar ringan dan boleh terbang.

“Rakyat Sabah dan Sarawak juga tidak perlu mengharungi jalan raya yang penuh dengan ‘potholes’ (lubang),” katanya.-SabahNewsToday