Pilih Bahasa

Rakan memburu disangkakan payau maut ditembak

KENINGAU: Aktiviti memburu payau bagi dua rakan bertukar tragis apabila salah seorang maut terkena tembakan kerana disangkakan seekor payau di hutan Karamatoi, Sook, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa Fitrhiwandi Feritus, 18, maut terkena tembakan di bahagian leher dan bahu.

Nyuk Kim menunjukkan senapang bakakuk yang dipercayai digunakan oleh suspek ketika keluar memburu payau di hutan Karamatoi, Sook, Keningau. Gambar SNT/Ihsan IPD Keningau

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata siasatan awal mendapati mangsa dikatakan datang ke rumah suspek berusia 31 tahun untuk mengajak memburu kerana menurut mangsa ketika ini adalah musim payau keluar mencari makanan.

“Sebelum kejadian mangsa ada ternampak beberapa ekor payau di kawasan hutan berkenaan dan mengajak suspek keluar memburu.

“Ketika menunggu payau di kawasan hutan berkenaan, suspek terdengar bunyi dan melihat  ‘payau’ muncul di kawasan semak.

“Suspek yang yakin itu adalah payau terus melepaskan tembakan ke arah haiwan berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian menuju ke tempat ‘haiwan’ berkenaan tetapi terkejut melihat rakannya terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

“Mangsa cedera parah terkena tembakan. Suspek cuba menyelamatkan mangsa namun gagal kerana mangsa sudah tidak bernyawa.

“Lalu suspek bergegas pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian itu kepada bapanya. Selepas itu, bapa suspek membawanya menemui ketua kampung sebelum memutuskan untuk membawa suspek menyerah diri di balai polis,” katanya.

Shahrudin berkata berdasarkan maklumat itu, sepasukan polis diketuai oleh Asisten Superintendan Lee Nyuk Kim dengan dipandu arah oleh suspek bergegas ke lokasi dan menemui mangsa terlentang di tepi sungai dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

“Hasil pemeriksaan polis turut menemui selaras senapang buatan sendiri jenis bakakuk yang disyaki digunakan ketika kejadian itu.

“Mayat mangsa kemudian di bawa ke Hospital Keningau dan pemeriksaan luaran mendapati mangsa luka teruk di leher dan bahu,” katanya.

Menurut beliau, suspek warga tempatan direman selama tujuh hari sehingga 13 Julai ini untuk membantu siasatan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.-SabahNewsToday