Pilih Bahasa

Rakyat digesa bantu jadikan Malaysia kekal negara berintegriti

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Dr Yusup (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan pengisahan dan pidato peringkat negeri. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Rakyat digesa bersama-sama membantu kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah  negara maju dan bersih daripada anasir negatif sekaligus mewujudkan kerajaan yang lebih berintegriti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan menyedari bahawa rakyat mahu negara yang dapat mempertahankan prinsip keadilan, tadbir urus yang baik, berintegriti dan menjunjung kedaulatan undang-undang dalam hubungan sesama kaum.

Mohd Shafie berkata ia merupakan agenda utama kerajaan hari ini untuk memastikan ketelusan dalam segenap urus tadbir agar matlamat menjadikan Malaysia baharu bebas anasir negatif benar-benar tercapai.

Dr Yusof (kiri) melawat pameran Malaysia Baharu anjuran Jabatan Penerangan di kompleks beli-belah Suria Sabah. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

“Kita sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa perlu mengekalkan perpaduan kaum demi menjaga keharmonian negara, malah kerajaan tetap mendokong Perlembangaan  dan rukun negara sebagai tonggak perpaduan kaum.

“Malaysia baharu adalah suatu terminologi yang membawa maksud sebuah negara yang percaya kepada kerjasama dan perpaduan berasaskan sikap saling menghormati demi kemakuran bersama,” katanya dalam ucapan sempena Pameran Malaysia Baharu serta Pengisahan dan Pidato Kenegaraan peringkat negeri Sabah 2019.

Mohd Shafie diwakili oleh Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob dalam Program Sepakat Malaysia Baharu Harapanku anjuran Jabatan Penerangan di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata sejajar dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini `Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ kerajaan berharap dapat menjadikan Malaysia sebuah negara perpaduan dan semangat cintakan negara bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran dapat dinikmati rakyat.

Dr Yusof (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat ketiga pertandingan pengisahan dan pidato peringkat negeri. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Beliau menambah banyak inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan melalui pelbagai rancangan khasnya dalam Belanjawan 2019 dan Kajian Separuh Penggal Perancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) terutama melibatkan golongan B40.

Contoh terbaharu, katanya ialah Skim Peduli Kesihatan Peka B40, Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Skim KWSP i-Suri.

Dalam masa sama, Mohd Shafie turut menekankan bahawa pentadbiran kerajaan hari ini jelas mengamalkan dasar pemerintahan mengikut undang-undang (Rule of Law) iaitu pemisahan kuasa antara tiga pihak iaitu pembuat undang-undang, pelaksanan pentadbiran dan bidang kehakiman.

“Oleh itu semangar solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia perlu terus digelorakan untuk menyokong dan bersama-sama menjayakan agenda kerajaan ke arah membina Malaysia baharu yang bersih, progresif dan dinamik,” ujarnya.

Dr Yusof yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berucap pada Pameran Malaysia Baharu serta Pengisahan dan Pidato Kenegaraan peringkat negeri Sabah 2019. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Sehubungan itu katanya kerajaan akan terus berusaha memastikan semua inisiatif di bawah janji kerajaan dipenuhi supaya pencapain pada masa akan datang tercapai atas semangat inklusif dan nilai keadilan yang akan menyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat. – SabahNewsToday