Pilih Bahasa

RAKYAT KEMABONG MOHON KERAJAAN BINA KLINIK KESIHATAN BARU

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jamawi (tengah) ketika meninjau keadaan bilik rawatan di Klinik Kesihatan Kemabong. – Gambar SNT / ehsan Jaafar Wahid

KEMABONG: Sebuah klinik kesihatan baharu di daerah ini perlu diwujudkan bagi menampung keperluan rawatan pesakit yang semakin meningkat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar berkata, penduduk kampung menghadapi kekangan mendapatkan rawatan lanjut disebabkan lokasi Hospital Tenom terletak kira-kira 40 kilometer dari pekan itu.

Jamawi berkata, walaupun pada masa ini Kemabong memiliki sebuah Klinik Kesihatan, namun ia
agak kecil dan disamping kekurangan kemudahan rawatan bagi penduduk kawasan itu yang dianggarkan berjumlah 30,000 orang.

“Terdapat empat doktor, dua pembantu dan enam jururawat ditugaskan di sini, tetapi dalam keadaan kemudahan serba kekurangan menimbulkan keadaan yang tidak selesa bagi pesakit mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan mengejut ke Klinik Kesihatan Kemabong.

Menurut Jamawi, beliau akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan bagi pembinaan sebuah bangunan baharu klinik kesihatan di kawasan itu.

“Saya akan susuli cadangan ini untuk dikemukakan kepada kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan agar bangunan baharu dapat dibina dan kemudahan asasnya dapat dipertingkatkan,” katanya.- SabahNewsToday