Pilih Bahasa

Rakyat Malaysia di pantai timur AS sambut Hari Merdeka bersama keluarga, rakan

Oleh Manik Mehta

NEW YORK, 27 Ogos (Bernama) — Malaysia United Group (MUG), yang menjadi platform rakyat Malaysia saling berhubungan antara satu sama lain, mengambil inisiatif untuk menganjurkan sambutan Hari Merdeka pada hujung minggu ini di Flushing, New York yang bakal menyaksikan rakyat Malaysia, keluarga dan rakan mereka menyajikan juadah istimewa selain aktiviti berseronok serta permainan untuk generasi muda dan golongan dewasa.

Empat anggota jawatankuasa eksekutif MUG terdiri daripada ahli perniagaan yang berpangkalan di New Jersey iaitu Kirby Tan; Zef Zan, seorang penerbit siaran langsung; perunding pemasaran Raymond Tay dan Xavier Pereira “begitu teruja” untuk bertemu rakyat Malaysia dari kawasan tiga negeri iaitu New York, New Jersey dan Connecticut.

“Keseluruhan idea untuk menganjurkan acara ini bermula menerusi satu perbualan ringkas dengan konsul jeneral kita, Jeremiah Oliver Jitos, baru-baru ini selepas saya secara kasual menyebut saya rindukan sambutan keluarga Hari Merdeka yang rakyat Malaysia, termasuk saya sendiri, pernah anjurkan pada masa lalu.

“Oleh itu, konsul jeneral telah menyarankan agar saya mengambil inisiatif dan memulakan kembali sambutan tersebut, ” kata Tan dalam temu bual dengan Bernama ketika menjelaskan penganjuran acara itu.

Ahli perniagaan itu, yang telah menetap di Amerika Syarikat (AS) selama bertahun-tahun namun masih mengekalkan hubungan erat dengan Malaysia, mengambil inisiatif dalam kapasiti peribadinya dan dibantu oleh rakan-rakan jawatankuasa eksekutif MUG.

Tan berkata selain konsul jeneral, beliau turut menerima sokongan daripada bekas diplomat Malaysia yang ditempatkan di New York dan kini berada di Kuala Lumpur.

“Saya mendapat sokongan daripada beberapa diplomat, termasuk bekas konsul jeneral di New York, Datuk Shahizan, dan Puan Sri Amy Hamidon, isteri bekas wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tan Sri Hamidon Ali, ” katanya.

“Objektif utama kami ialah menganjurkan hari keluarga Merdeka Malaysia ke-61 2018 untuk rakyat Malaysia di kawasan tiga negeri ini, tanpa mengira organisasi Malaysia mana yang anda sertai, ” katanya.

Setiap anggota jawatankuasa itu diberi tugasan tertentu; Tan, contohnya, diberi tanggungjawab memantau beberapa acara yang dianjurkan sempena sambutan Hari Merdeka, mereka bentuk semua bahan promosi dan menyusun logistik untuk kejohanan boling, perkelahan “potluck,” kejohanan golf dan pertandingan karaoke Malaysia serta majlis penyampaian hadiah.

Tay pula ditugaskan merekrut sukarelawan manakala Zef mempromosi acara itu di media sosial dan menerusi siaran langsung.

Kira-kira 200 rakyat Malaysia yang berada di ruang barbeku di Flushing Meadows Trail, sebuah pusat peranginan popular bagi perkelahan dan perhimpunan sosial, telah dilihat menyapa konsul jeneral Malaysia dengan mesra di tengah-tengah laungan “Malaysia Boleh. ”

Tom Tan, rakyat Malaysia yang menetap di Flushing dan terbabit dalam perniagaan perkhidmatan kewangan berkata Flushing, atau lebih dikenali sebagai Chinatown, juga merupakan tempat tinggal sejumlah besar rakyat Malaysia.

Beliau menggesa kerajaan Malaysia memudahkan bekas rakyat Malaysia untuk melayakkan diri di bawah program “Malaysia, Rumah Keduaku” bagi membolehkan mereka kembali ke tanah air kerana Malaysia akan mendapat manfaat daripada kepakaran mereka.

“Saya yakin ramai rakyat Malaysia yang bersara di AS akan berminat untuk kembali ke tanah air dengan simpanan mereka dan melabur di Malaysia jika kepulangan mereka di bawah program Malaysia, Rumah Keduaku dipermudah, ” katanya kepada Bernama.

Diterjemah dan disunting oleh Sabarina Baharom

— BERNAMA